top of page

ANUGERAH TERINDAH

Writer: Azlin Mazura IsmailAzlin Mazura Ismail


Pemenang Tempat Pertama Pertandingan Menulis Cerpen Kategori B (SMA Heroes) bersempena Sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa 2024.

Hasil nukilan Azlin Mazura Ismail, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200 yang ditaja oleh pihak Synapse Sdn. Bhd, dan juga menerima hadiah misteri yang ditaja oleh Yayasan Luth.


=============================================================


Curahan hujan yang dinginkan suasana malam itu seharusnya membuat aku lena dibuai mimpi. Namun, kedinginan itu menjadikan airmataku lebih deras daripada hujan yang mencurah. Di tikar sejadah itu, aku sedar betapa lemahnya imanku untuk redha dengan ujianMu Ya Allah. Jujurnya, aku masih belum hadam dan khatam dengan berita yang baharu sahaja kami terima.


“Ibu dan ayah, keputusan darah anak ni ada yang positif,” kata doktor kepada aku dan suamiku. Aku terdiam. Hatiku mula merintih...Ya Allah, positif dalam bidang perubatan ini bermaksud ada yang tidak kena dengan anakku Ya Allah…


“Maaf ibu ayah, berdasarkan keputusan darah, anak ini disahkan menghidap penyakit genetik jarang jumpa, SMA iaitu Spinal Muscular Autrophy, type 2.” jelas doktor. Aku tidak mampu menggambarkan perasaanku sendiri selepas mendengar segala penjelasan daripada doktor. Hanya kalimah Allah yang mampu membuatkan aku sedar yang aku masih bernafas.


Dalam esak tangis, ku peluk anakku seeratnya… “Sayang ummi, walau apapun ummi janji akan jaga anak ummi sebaik dan semampunya. Ummi akan sayang anak ummi sepenuh hati. Ummi, papa dan abang-abang akan pastikan anak ummi ni dilimpahi dengan kasih sayang sehinggakan tiada kekurangan, melainkan keistimewaan sahaja yang terpancar di mata dan hati kita semua,” bisikku buat puteri kecil kesayanganku yang ketika itu berumur setahun.


"Walau bergunung tingginya ilmu,

Resmi padi jangan dilupa,

Andai diri tak mampu membantu,

Indahnya berdiam dari berbicara,"


Masih jelas dalam ingatanku kata-kata yang aku lafazkan dengan keyakinan terhadap kuasa Sang Pencipta namun, ditolak mentah-mentah. “Puan kena terima kenyataan yang anak puan hanya mampu bertahan sehingga umur dua tahun. Penyakit ini memang tiada ubat!,” terngiang-ngiang di telingaku akan sangkalan doktor terhadap kata-kataku. Waktu itu, aku hanya inginkan doktor menganggukkan kepala, bersetuju dengan kenyataan bahawa tiada yang mustahil bagi Allah. Sebaliknya, hanya gelengan kepala yang aku terima. Itu yang membuat perasaanku lebih parah ketika itu.


Namun Alhamdulillah, dengan izinNya, kini aku dilimpahi kebahagiaan bersama puteriku yang telahpun berumur sembilan tahun. Ya, kehidupan kami mungkin jauh berbeza dengan orang lain. Namun, kami bahagia dan gembira dengan cara kami.


“untukmu yang telah lama ditunggu

lagu ini tercipta untukmu

tatapanmu, sentuhanmu, bahagiaku

Tuhan telah menjawab doaku

kau hadir menyejukkan hatiku

kau anugerah yang terindah di hidupku

sihatlah kau selalu, bahagialah selalu, bersyukurlah selalu

sayangku...

akan ku jaga dirimu hingga tua nanti

akan ku sayangi, ku lindungi dari kerasnya dunia

akan ku jaga dirimu hingga tua nanti

itu tugasku, kau buah hatiku…”


Bait-bait lagu nyanyian kumpulan Armada ini sangat tepat dengan perjalanan hidup kami sekeluarga. Dalam kekurangan, puteriku inilah anugerah terindah yang melengkapkan kehidupan kami sekeluarga. Benarlah, ujian itu tanda kasihNya. Dahulu aku menyalahkan diri dan menganggap semua ini kifarah atas segala dosa-dosaku. Kini, aku lebih bersyukur atas nikmat di sebalik semua ini.


“Sayang, syukur sangat ada Syifaa kan? Dengan adanya Syifaa, buatkan kita lebih sentiasa ingat padaNya kan sayang? Kasih sayang kita sekeluarga pun semakin erat. Kita jaga amanah ni baik-baik ye sayang,”kata-kata yang acap kali aku dan suami lafazkan.


Kasih sayang harta yang paling bernilai”


Usha, panggilan manja buat puteriku, Afeeya Syifaa.


“Ummi, kitaorang tak nak orang lain jaga Usha. Kitaorang ok je ummi. Ummi berhenti kerja jaga Usha ye ummi. Lagipun dah lebih setahun ni ummi cuti tanpa gaji, kita ok je kan…makan pakai semua cukup je. Lagipun anak-anak ummi ni dah bujang ummi, nak jaga badan. Dulu masa ummi kerja, kitaorang asyik makan je. Pantang dengar menu viral, semua ummi beli. So, sekarang kita kan kena berjimat. Ok la tu ummi, boleh kitaorang diet,” ngomel hero-heroku.


“Usha pandai, tapi kita risaukan risiko kesihatan dia. So, bila ummi berhenti kerja, ummi boleh fokus jaga Usha. Ummi jadi cikgu Usha kat rumah je ummi,” tambah anak-anakku dengan penuh semangat.


Sebagai seorang ibu, aku merasai kejujuran anak-anakku dan kejujuran itu membuatkan hati ini sebak dan terharu. “Mereka matang dengan ujian dan nikmatMu Ya Allah. Besar pengorbanan mereka buat adik kesayangan. Tolong atur perjalanan mereka dengan aturan yang terbaik Ya Allah,” cerita dan pintaku kepada Yang Maha Esa.


Ya Allah, nikmat apa yang aku dustakan. Betapa bersyukurnya aku dikurniakan anak-anak sebagai penyejuk hati. “Terima kasih anak-anak ummi sebab faham, sayang dan jaga Syifaa. Besar pahala abang-abang sebab ikhlas jaga dan sayangkan Syifaa. Terima kasih jadi anak dan abang yang baik. Kita sama-sama jaga amanah Allah ni ye anak-anak ummi,” titipku berulang kali buat keempat-empat puteraku.


“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan menurunkan ubatnya juga”

-HR Bukhari-


I’m special.  Syifaa nak sangat dapat jalan, boleh tolong ummi, boleh solat sempurna. Tapi takpe… kalau tak dapat kat sini, nanti dekat syurga, Syifaa boleh dapat semua yang Syifaa nak. Baiknya Allah, hebatnya Allah. Syifaa sayang ummi, Syifaa sayang Allah. Terima kasih ummi, terima kasih Allah,” banyak kali ungkapan ini didengari setiap hari.


“Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah. Sihatkan kami semua Ya Allah. Izinkan Syifaa dan semua pesakit SMA dapat rawatan yang terbaik Ya Allah, ”doa yang tidak pernah putus dipanjatkan kepada yang Maha Esa.


“Syifaa, Alhamdulillah sekarang dah ada ubat untuk penyakit SMA. Cuma harga ubat ni mahal. Syifaa tolong doakan moga ada rezeki Syifaa dan kawan-kawan dapat ubat ni segera ye. Ummi akan usahakan yang terbaik untuk Syifaa. Tapi Syifaa kena ingat tau, ini semua usaha kita je. Semuanya dengan izin Allah. Kita usaha dan doa sama-sama ye sayang ummi,” terangku.


“Wah…Alhamdulillah, tak sabar Syifaa nak dapat ubat!” teriak puteriku penuh teruja.


“Betul ke ummi? Bila ummi? Berapa harga ubat tu ummi? Buat kat mana?” bertalu-talu pertanyaan daripada anak-anakku yang lain. Teruja sungguh mereka.


 “Ok, step seterusnya, kita buka akaun media sosial untuk Syifaa. Jika Allah izinkan, Allah akan jentik hati orang untuk bantu Syifaa. Yang penting, kita nak bagi lebih ramai orang doakan Syifaa dan tahu apa itu SMA,” ujarku penuh semangat dan pengharapan.


“Nanti ummi guna nama manja Usha tau sebab Syifaa nak orang semua tolong Syifaa atas rasa kasih sayang. Syifaa kan istimewa,” petah mulut dan berseri-seri muka puteriku.


Dakapan kami ketika itu dibaluti kesyukuran, kegembiraan dan pengharapan…


“Tiada dalam kamus hidupku erti lelah

Demi sang puteri, ku terus melangkah

Tidak mudah, tapi indah

Apa sahaja demi Si Anugerah”


Teruja aku memberi pickup lines kepada puteriku, “apa beza Syifaa dengan Erra Fazira?” Kami sangat suka bermain teka-teki dan pickup lines. “Ermmm…Erra Fazira favourite ummi, Syifaa anak ummi,” jawab Syifaa. “Teeet…salah…hehehe… jawapannya ialah…Erra Fazira ratu cantik Malaysia, Syifaa ratu di hati ummi… cia, cia cia…,”berdekah tawa kami sambil berpelukan. “Bawa bertenang..gegar rumah ni sampai ke kampung boleh rasa,”sakatku lagi. Terhenjut-henjut badan Syifaa ketawa. “Ummi ni kan…Syifaa guna kuasa jeritan Syifaa nanti,” tingkahnya sambil tak henti-henti ketawa.


‘Icha nak juga…Icha pula..icha pula,” ngomel si bongsu. Si kecik ni dah pandai jadi kawan kepada kakak Syifaa.


Sehari-hari, puteriku inilah yang menjadikan rumah ini penuh dengan gelak tawa dan kasih sayang.


“Anak-anak!!!” “Jangan!” “Ummi marah nanti!” Minta maaf!” “Jangan buat lagi!”


Dalam gelak tawa tu, sesekali ummi jadi singa juga, hahaha… Mana yang salah, ummi kena la tegur kan. Tapi ummi pun selalu cakap dengan anak-anak, “ummi minta maaf, ummi banyak salah, jangan ikut mana yang ummi tak betul tau..hehehe.”


Keceriaan Syifaa menambahkan rasa syukur dan bahagia sehinggakan kami seakan tidak sedar bahawa otot Syifaa semakin hari semakin merosot.


“Krohhh…Krohhh…”

“Papa, Syifaa nak mengiring”


Setiap malam tidur kami ditemani suara ini. Bukannya rela, cuma mungkin sudah terbiasa hinggakan jika tiada dengkuran atau suara, aku dan suami bingkas bangun merapatkan telinga ke dada puteriku ini. “Allahuakbar…syukur Alhamdulillah,” tersenyum lega kami suami isteri.


Acap kali aku mendengar daripada ahli keluarga yang lain, “Adik kuat!”. “Alhamdulillah,” hanya itu jawapan yang mampu kuberikan. Aku sendiri tidak mengerti, adakah itu satu pujian? Tapi mengapa aku dapat rasakan hati ini menangis setiap kali ungkapan itu didengar? Sememangnya aku bahagia dan bersyukur dengan apa yang ada pada hari ini. Namun, hakikatnya jauh di sudut hati ini ada sesuatu yang tak mampu aku zahirkan.


Pernah suatu ketika, tanganku sakit sehingga sukar menyuapkan nasi ke mulut. Namun, tatkala menguruskan puteriku, “Ya Allah, Alhamdulilah, tangan aku sakit Ya Allah tapi Kau izinkan aku dapat mengangkat anakku,” bisik hatiku penuh kesyukuran. Bayangkan puteriku beratnya lebih 20 kilogram ketika itu. Subhanallah.


“Ada yang ingin tahu berapa berat Syifaa sekarang?”

“Shhh…nanti Syifaa marah..hahaha…”

“Ummi, bila kita nak diet ni ummi?” “Esok kita diet,” hampir setiap hari kami ulang ayat yang sama. Nampaknya soalan matematik Syifaa lagi mudah berbanding hal diet ni..hahaha…

“Ishhh…tadi macam cerita sedih, tiba-tiba macam nak tergelak pula”. Ok, kita sambung cerita…hehehe…


Setiap hari, aku semakin sedar bahawa aku bisa mencorakkan hitam putih perjalanan kehidupan ini. Maka, aku berazam untuk terus berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan itu bersama suami dan anak-anakku. Cukuplah kepadaNya aku berkongsi cerita suka duka, kena pada masa dan tempatnya.


“Ummi doa sangat Allah terus kurniakan ummi kesihatan berterusan untuk jaga Syifaa. Cuma, semakin hari, ummi pun semakin tua. Sekurang-kurangnya, ummi harap sangat Syifaa mampu uruskan diri sendiri satu hari nanti,” doaku setulus hati buat puteri kesayanganku ini.


InsyaAllah, dengan ubat dan rawatan yang terbaik, Syifaa akan semakin sihat dan kuat. Tiada yang mustahil bagi Allah.


“Teruslah berdoa dan memberi sokongan”


Syukur Alhamdulillah, Syifaa seorang yang sangat kuat, positif dan ceria. Hospital sudah menjadi tempat dating ummi bersama Syifaa. Di sini jugalah our time sambil makan bihun sup favourite kami. 


“Hai Usha..comelnya Usha hari ni..memang suka sangat dia dengan color pink... Hari ni Usha datang untuk swimming ye...” berbunga hatiku mendengar sapaan para jururawat dan doktor setiap kali Syifaa datang untuk rawatan. Alhamdulilah, aku bersyukur dengan aura yang Allah kurniakan buat puteriku ini. Sentiasa disayangi dan disenangi orang sekeliling.  


"Usha dan Icha ragam aksinya

Kau disenangi siapa jua

Usha dan Icha selamanya

Betul, betul, betul…."


Aku selalu menyanyikan lagu tema animasi Upin dan Ipin dengan menukar liriknya kepada nama manja kedua-dua puteriku. Setiap kali itu juga aku akan menerima senyuman dan pelukan hangat daripada kedua-duanya. Ya Allah, terima kasih atas nikmatMu Ya Allah…


"Seusai hujan, hadirnya pelangi

Membawa unicorn terbang tinggi

Perbaiki amalan sebelum kembali

Usaha selagi diizinkan Ilahi

Teruslah berjuang wahai puteri

Panjatkan doa setiap hari

Moga dipayungi rahmat Ilahi

Tertunai segala yang dihajati

Andai bukan di sini

Di sana itu pasti"


Malam ini hujan mencurah lagi. Kali ini airmataku turun membasahi jari-jemariku yang laju mencoretkan isi hati. Ironinya, airmata ini bukan lagi airmata seperti dahulu. Ianya airmata yang penuh kesyukuran dan pengharapan kepadaMu Ya Allah. Akhirnya, Engkau temukan jua penawar yang terbatas sejak sekian lama. Terima kasih atas petunjuk dan rezekiMu Ya Allah…


 “Pssttt…sayang, dah pukul 2:00 pagi dah ni. Nanti lewat sangat tidur, sakit kepala pula. Esok sayang nak kena jaga anak-anak. Jom kita tidur dulu jom,” perlahan suara suamiku berbicara, risau anak-anak terjaga.


Ku kucup dahi anak-anakku, “Terima kasih jadi anak ummi yang baik.” Hanya Allah yang tahu betapa sayangnya aku pada anak-anakku. Ya Allah, tolong pegang dan jaga hati kami untuk terus berkasih sayang keranaMu Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Perjalanan ini tidak mudah, namun Engkau menjadikannya indah seadanya Ya Allah. Terima kasih atas kurniaan seorang anak syurga yang kau letakkan di dalam keluarga kami ini Ya Allah. Moga ianya menjadi asbab untuk kami bersama-sama di syurgaMu Ya Allah. Ilhamkan kepada kami untuk sentiasa mensyukuri nikmatMu Ya Allah. Janganlah Engkau tarik kembali nikmatMu, sebaliknya tambahkanlah nikmatMu terhadap kami Ya Allah. Berkat kasihMu kepada baginda Rasullah SAW, satukan kami dalam rahmatMu demi menjaga amanahMu… anugerah yang terindah…

 
 
 

Commentaires


bottom of page