Pemenang Tempat Kedua Pertandingan Menulis Cerpen Kategori A (SMA Fighter) bersempena Sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa 2024.
Hasil nurkilan Nur Syafiqah Yahya, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100 yang ditaja oleh pihak Synapse Sdn. Bhd.
=============================================================
Hujung kepala Syafiqah dikucup sayu. Juga wajahnya ditatap sepuasnya buat kali
terakhir oleh beberapa ahli keluarga yang tiada batasan aurat baginya. Lapisan kain
putih sedia membalut kemas di sekujur tubuhnya. Kemudian diikat rapi dari hujung
kepala hingga ke hujung kaki. Menandakan jenazah telah selesai dikafankan.
Suasana pilu menyelubungi seluruh ruang tamu di samping diiringi bacaan Surah
Yassin dari kaum keluarga dan orang-orang yang hadir menziarahi pada hari itu.
“Minta maaf, ya. Saya nak bertanya, dah selesai ke? Bagi yang mahram, ada lagi
yang nak cium arwah ni buat kali terakhir tak?” En. Ihsan bersuara bagi mewakili ahli
keluarganya.
“Kalau dah selesai semuanya, eloklah kita segerakan sembahyang buat jenazah.
Sebab van jenazah pun dah sampai,” Sambung En. Ihsan lagi, yang merupakan
abang kedua kepada ibunya iaitu Pn. Russila.
“Rasanya tak ada dah. Semua dah selesai, Bangah.” Kata En. Yahya iaitu ayah
kepada Syafiqah.
“Alhamdulillah. Kalau dah selesai semua, bolehlah kita sembahyang jenazah
sekarang, tak elok kita melambat-lambatkan.” Balas En. Ihsan.
Tiba sudah di Tanah Perkuburan Islam Kuala Ina, Alor Gajah, Melaka setelah selesai
jenazah disembahyangkan. Jasad Syafiqah diusung masuk ke liang lahad secara
perlahan-lahan. Dimiringkan jasad serta wajahnya di sebelah kanan menghadap ke
arah kiblat. Dibukakan ikatan yang mengikat kain kafannya. Manakala bahagian
wajahnya dirapatkan sehingga mencecah ke tanah. Sekeping papan menutupi lubang
lahadnya dan sedikit demi sedikit tanah ditimbus bagi menyempurnakan proses
pengebumian.
*******************************************
“Syafiqah, terlebih dahulu saya berharap agar Syafiqah perbanyakkan bersabar
dengan apa yang akan saya beritahu selepas ni. Syafiqah, saya sarankan, eloklah
jika Syafiqah segera mendapatkan apa yang Syafiqah impikan atau hajati selama hari
ni,” Kata Dr. Vanish Arjun. Doktor Pakar Pediatrik yang sering menetetapkan tarikh
temu janji khas demi memastikan kes bagi penyakit yang sedang dihidapi Syafiqah
sentiasa dibawah pemantauannya. Sejak usia Syafiqah 7 tahun lagi, Dr. Vanish Arjun
sememangnya sudah menganggap Syafiqah seperti anaknya sendiri. Tambahan pula
Dr. Vanish Arjun sangat fasih berbahasa melayu.
“Kenapa doktor cakap macam tu! Saya akan mati ke tak lama lagi?” Agak menekan
nada suaranya dan penuh dengan tanda tanya. Mungkin dia berasa sungguh terkejut
dengan kenyataan daripada doktor kesayangannya sebentar tadi.
“Saya bukan bermaksud begitu, Syafiqah...”
“Habis tu, maksud doktor macam mana? Doktor boleh tak straight to the point je
dengan saya,” Belum sempat Dr. Vanish Arjun menghabiskan ayatnya, terus
dipangkas oleh Syafiqah yang sudah semakin menebal rasa ingin tahunya.
“Syafiqah, please relax. Bahaya untuk jantung Syafiqah jika Syafiqah dalam keadaan
stress begini. Okay lah saya terus terang pada Syafiqah, ya.” Sedang Dr. Vanish
Arjun cuba menerangkan lagi keadaan yang sebenarnya, Syafiqah mencelah lagi.
Aduhai Syafiqah, sememangnya anak gadis yang baru menjangkau 16 tahun usianya
ini sungguh petah apabila bercakap sejak dia berusia 4 tahun lagi. Pendek kata,
ibarat mulut burung murai. Terkadang, peramahnya juga tak kena tempat. Walaupun
kerisauannya semakin menebal, keletahnya sudah cukup membuatkan Dr. Vanish
Arjun tidak sampai hati untuk memberitahu keadaan sebenar mengenai tahap
kesihatannya yang sudah mula merosot.
“Kejap, kejap. Tadi doktor cakap bahaya untuk jantung saya? Kenapa dengan jantung
saya doktor? Jantung saya tersumbat ke? Atau jantung saya bocor ke? Atau jantung
saya...”
“Bengkak. Jantung Syafiqah dah bengkak.” Dr. Vanish Arjun terus menghentikan
persoalannya dengan satu kenyataan sambil menunjukkan hasil keputusan ujian
Echo Scan yang sudah berada di atas meja.
“Bengkak?” Bagaikan tersentak ibarat panahan petir yang menyambar di jiwanya
tatkala mendengar kenyataan daripada Dr. Vanish Arjun mengenai hasil keputusan
ujian Echo Scan yang dilakukan pada jantungnya dua minggu lalu.
“Ya, sesudah kita selesai jalani ujian Echo Scan hari tu, apabila saya periksa
berulang kali, di bahagian kiri jantung Syafiqah dah mula membengkak. Dan...
keadaan ini sangat serious untuk Syafiqah. Ini menandakan yang penyakit Spinal
Muscular Atrophy Syafiqah sekarang dah mula attack bahagian otot jantung Syafiqah.”
Tenang dan tersusun lembut dijawab oleh Dr. Vanish Arjun.
“Apa yang menyebabkan jantung Syafiqah boleh membengkak, doktor?” Tanya En.
Yahya, ayah kepada Syafiqah.
“Begini En. Yahya, ini hanya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya. Apa
yang boleh saya jelaskan di sini, berkemungkinan besar semasa Syafiqah dalam
keadaan dia sedang tidur, nafasnya kerap terhenti dalam jangka masa yang lama.
Dan... berkemungkinan juga keadaan ini berlaku setiap hari, apabila dia tidur. ”
“Doktor, boleh terangkan dengan lebih jelas, apa yang menyebabkan jantung saya
boleh membengkak semasa saya tidur?” Kali ini sepertinya Syafiqah kelihatan sedikit
tenang. Raut wajahnya juga tampak tenang disusuli senyum manisnya. Namun di
sebalik itu, Allah sahaja tahu bahawa ada deraian salju yang sedang membeku di
lubuk hatinya. Rupa-rupanya soalan yang diajukan tadi berupa satu soalan kosong.
Sedangkan dia sudah dapat meneka apakah yang akan dia dengar dari mulut doktor
kesayangannya itu. Sengaja dia mengajukan soalan hanya untuk menutup
perasaannya serta menghidupkan suasana agar tidak terlihat dingin. Seperti dingin
yang hampir memenuhi di ruang hatinya pada saat ini.
Dr. Vanish Arjun lancar memberi keterangan yang lebih terpirinci berkenaan
bagaimanakah terjadinya kebengkakkan pada sebelah kiri jantung Syafiqah semasa
dia dalam keadaan tidur. Kata Dr. Vanish Arjun, apabila nafas Syafiqah terhenti
semasa tidur, saluran kiri jantungnya itu terpaksa berkerja keras untuk memastikan
darah serta oksigen yang ada dapat disalurkan ke seluruh organ dan di seluruh
tubuhnya. Betapa besarnya peranan organ yang sedang membengkak ini hanya demi
memastikan Syafiqah tetap terus hidup ketika dia sudah tidak bernafas lagi untuk
beberapa minit yang terlalu lama. Tambah Dr. Vanish Arjun lagi, hal ini sama seperti
injap yang berlubang, tidak tertutup buka dengan baik dan lemah yang mana akan
menyebabkan darah tidak mengalir pada kadar yang sepatutnya. Jantung pula perlu
untuk berkerja dengan lebih kuat dan akhirnya otot jantung mengeras serta
membengkak.
“Begitulah keadaan yang terjadi pada organ jantung dan terma perubatan bagi
fenomena ini ialah cardiomegaly. Am mengetahui bahawa organ jantung boleh
dikelaskan kepada dua bahagian iaitu saluran kanan dan kiri. Pembengkakan boleh
berlaku pada satu bahagian sahaja ataupun boleh juga terjadi pada bahagian
kedua-keduanya sekali. Dan... boleh jadi juga berpunca dari masalah tulang
belakang Syafiqah yang sudah membengkok. Yang mana ianya dipanggil Scoliosis.
Akibat dari tulang belakang Syafiqah yang sudah membengkok ini, mungkin memberi
tekanan pada paru-paru Syafiqah untuk bernafas secara normal.” Satu persatu,
panjang lebar Dr. Vanish Arjun memberikan penjelasannya.
“Baiklah, doktor. Saya dah faham. Err... doktor, tak ada ke rawatan yang boleh
menurunkan bengkak pada jantung saya ni?” Soal Syafiqah.
“Syafiqah, sejujurnya jantung yang dah membengkak tak akan kembali normal. Amat
mustahil perkara itu boleh berlaku. Syafiqah tahu belon? Apa jadi bila kita tiup sampai
ianya menjadi semakin membesar dan bulat?”
“Jadi teganglah,” Jawab En. Yahya.
“Iya, betul En. Yahya. Sama jugalah dengan jantung Syafiqah. Jantung merupakan
satu otot yang amat penting untuk seluruh anggota badan kita. Jantung ibarat enjin
untuk menghidupkan tenaga dan otak pula ibarat gear manakala buah pinggang,
paru-paru, hati dain organ lain semua ada tugasnya masing-masing. Jadi, apa
berlaku pada belon yang tegang dan kembung bila kita dah tiup, cuba kita biarkan
belon tu selama 3 minggu, apa jadi?”
“Kendur.” Jawab Syafiqah. Apa yang dia rasakan dari tadi hanyalah, beku. Di sebalik
bilik doktor yang sudah pastinya tersedia dengan penghawa dingin. Namun, dingin
yang ada di bilik itu, tidak sama seperti dingin di jiwanya. Bagi Syafiqah, cukuplah
sekadar setiap soalan dipenuhi dengan jawapan agar tidak terpamer duka pada
wajahnya disaat itu.
“Jadi, dapat tak belon tu jadi seperti bentuk asal sebelum ianya ditiup?” Dr. Vanish
Arjun juga cuba untuk menenangkan Syafiqah. Masakan dia tidak perasan akan
perubahan ketara pada Syafiqah yang asalnya seorang periang terus berubah
perwatakannya menjadi muram. Biarpun dia tetap tenang dengan senyuman yang
masih tidak lekang di wajahnya, namun Dr. Vanish Arjun dapat membaca segala isi
hati Syafiqah kini.
“Tak mungkin. Tentu belon tu dah rosak,” Jawab Syafiqah lagi. Kali ini nada suaranya
sudah mula serius.
“Iya, samalah seperti otot. Bila dah banyak buat kerja yang berat-berat, dah pastilah
otot tu akan besar dan...”
“Doktor, maafkan saya. Berapa lama lagi jangka hayat yang saya ada?” En. Yahya
pantas memandang anaknya, kemudian berpaling ke arah Dr. Vanish Arjun.
Serta-merta Syafiqah menghentikan ayat dari Dr. Vanish Arjun dengan hanya satu
soalan. Adakah mungkin dia ingin menamatkan segala kegusaran yang sudah pun
berkecamuk di dalam hati?
“Syafiqah...”
“Doktor tolong jawab, berapa lama lagi jangka hayat yang saya ada?” Tegas Syafiqah.
Suaranya seakan ke tenggelam perlahan. Kelopak matanya mula berair. Kulitnya
yang putih kemerah-merahan mulai berubah pucat lesi.
“Syafiqah, sebarang kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja
sekarang ni. Perbanyakkan bersabar ya,” Lembut disambut Dr. Vanish Arjun sambil
meletakkan tangan kanannya ke atas bahu kiri Syafiqah lalu merenung jauh ke dalam
matanya. Syafiqah mengangguk lesu.
****************************************
Semasa dalam perjalanan pulang dari hospital, ibu dan ayahnya menceritakan
semula tentang apa yang diterangkan di Klinik Pakar Pediatrik oleh sekumpulan
doktor-doktor pakar yang datang dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Serdang,
Selangor sebentar tadi. Mereka menerangkan mengenai bagaimanakah pengakhiran
bagi penyakit yang Syafiqah hidapi sejak lahir ini. Syafiqah merupakan seorang
pejuang bagi penyakit jarang jumpa yang dipanggil Spinal Muscular Atrophy(SMA).
Ramai yang menyangka, bahawa penyakit Syafiqah ini disebabkan oleh demam
panas semasa lahir. Pada hakikatnya tidak. Dia dilahirkan oleh ibunya dalam
keadaan normal dan sempurna. Sihat cukup sifat, tiada kurang juga tiada
cacat-celanya. Malahan difahamkan oleh ibunya, sewaktu Syafiqah berada dalam
kandungannya, pergerakan Syafiqah sangat aktif sama seperti bayi yang berada di
dalam kandungan ibu-ibu yang lain. Cuma sesudah Syafiqah dilahirkan, apabila
Syafiqah dimasukkan ke dalam incubator, pergerakannya tidak selincah seperti bayi
yang lain.
Kajian doktor mengatakan bahawa penyakit SMA ini adalah penyakit genetik yang
menyebabkan kepupusan sel saraf atau otot tulang belakang. Juga menyebabkan
kerosakan pada sel saraf yang dipanggil neuron motor di saraf tunjang. Sel neuron
motor mengawal kebolehan otot anggota badan untuk mengecut dan bergerak seperti
merangkak, berjalan, kawalan leher, kepala, bercakap dan menelan. Otot-otot hanya
akan berfungsi dengan sempurna jika neuron motor masih hidup dan berfungsi
dengan baik. Kajian sebahagian doktor juga mengatakan bahawa penyakit bawaan
genetik ini diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa. Jika kedua-dua ibu bapa adalah
pembawa, risiko mendapat anak berpenyakit ini adalah 25 peratus bagi setiap
kelahiran. Bagaimanapun, jika hanya seorang sama ada ibu atau bapa yang menjadi
pembawa, anak-anak yang dilahirkan sihat dan normal walaupun berkemungkinan
juga menjadi seorang pembawa penyakit SMA. Penyakit ini boleh berlaku akibat
mutasi (perubahan) pada gen neuron motor 1 (SMN1). Gen SMN1 adalah
bertanggungjawab menghasilkan protein utama untuk membolehkan neuron motor
berfungsi. Seseorang itu akan menghidapi SMA apabila ia tidak mempunyai
kedua-dua salinan gen SMN1 dan menjadi pembawa penyakit ini jika dia hanya
mempunyai satu salinan gen SMN1 sahaja.
Skala tahap bagi penyakit SMA yang dihidapi Syafiqah adalah di tahap kedua(SMA
Type-ll). Yang mana semasa Syafiqah berusia seawal 6 hingga 9 bulan, kakinya
lemah serta tidak dapat untuk berdiri tegak seperti kebanyakkan bayi normal yang lain.
Ini bermaksud, apabila ibunya cuba mengangkat di bahagian bawah ketiaknya untuk
melihat Syafiqah berdiri. Tiada langsung sebarang tanda yang menunjukan Syafiqah
boleh berdiri. Malah Syafiqah juga tiada sedikit pun kekuatan untuk berdiri dan
merangkak pada seawal usianya 1 tahun 9 bulan. Sebaliknya Syafiqah hanya mampu
untuk duduk apabila didudukan. Baring apabila dibaringkan. Jika tidak dibantu, hanya
terlantar terbaring begitu.
Dalam kes SMA, fungsi neuron motor ini akan merosot dan mati serta menyebabkan
otot lemah dan tidak bermaya. Kelemahan otot berlaku secara menyeluruh tetapi
bahagian bawah anggota badan akan menjadi lebih lemah berbanding bahagian atas
dan otot bahu akan lebih terjejas daripada otot tangan.
Sewaktu kecil, kajian demi kajian dijalankan bagi mengenal pasti apa penyakit yang
dihidapi Syafiqah. Dia pernah didiagnosis menghidap penyakit Cerebral Palsy (CP).
Dan akhirnya pada usia Syafiqah mencecah 4 tahun lebih, doktor pakar
mengesahkan Syafiqah menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy tahap 2.
“Tadi doktor pakar dari Hospital Serdang ada beritahu, kemungkinan besar Kak Long
lepas ni dah tak boleh buat apa yang Kak Long dapat buat sekarang ni,” Kedengaran
hiba suara Pn. Russila.
“Maksudnya?” Disambut Syafiqah yang mendengar kenyataan dari ibunya itu.
“Apa yang Kak Long dapat buat sekarang macam menulis, pegang pen, buku,
kraftangan, bersolek, menjahit dan lain-lain. Doktor ada beritahu lagi, akan sampai
satu masa Kak Long dah tak ada kudrat langsung untuk bergerak apa-apa lagi,” Sayu
dibalas ibunya.
Ya Allah, apakah ini suatu pengakhiran setelah ujian demi ujian yang sudah aku lalui
selama hidupku? Tidak adakah peluang untuk aku merasa sedikit kebahagian di atas
duniaMu ini? Rintih hatinya. Bertupangkan bantal di belakang kepalanya, tidak beralih
anak matanya merenung langit di luar tingkap kereta. Tanpa disedari minitislah air
matanya. Sebak yang disimpan sedari tadi tidak mampu ditahan lagi. Paling
menyayat hatinya, berita sedih ini dia terima dalam bulan Ramadan. Baru hari ketiga
berpuasa. Apa yang dia teringin nak makan semasa berbuka puasa nanti sudah tidak
bermakna lagi baginya.
“Kak Long, tadi kau cakap teringin nak makan kuih Tepung Pelita yang versi dalam
daun pandan tu kan. Nak berapa biji? Lagi... teringin nak makan apa? Ibu Ayah nak
cuba cari dekat bazaar ramadan kalau ada.” Tanya ibunya.
“Kuih tu Ibu ambil je 3 biji. Untuk makan lain, Ibu beli jelah apa-apa. Kak Long makan
je. Lagi pun, tak tahulah nak makan apa. Tak ada selera.” Syafiqah cuba menjawab
sebaik mungkin. Dia cuba selindungkan kesedihan dengan mengalihkan
perhatiannya.
Jam menunjukkan pukul 11:47 malam. Ketika semua orang lena diulit mimpi. Sedang
Syafiqah masih lagi berjaga, duduk di atas sofa sambil memegang tiga pasang baju
kurung tempahan dari jirannya. Dia perlu menyiapkan sulaman manik untuk baju
kurung itu menjelang tiga minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri. Jadi hanya berbaki
beberapa hari sahaja lagi untuk dia menyiapkan tempahannya itu. Gelora di jiwanya
masih belum berkurang. Di depannya ada sebekas peralatan untuk menjahit. Terlihat
ada sebilah pisau lipat pemberian hadiah dari neneknya di kampung. Masih
tersimpan rapi di dalam bekas alatan menjahit miliknya. Diambil dan dibuka lipatan
pisau itu. Tajam direnung pisau yang digenggam. Sejatam mata pisau lipat itu.
Dibelek-beleknya ke atas dan ke bewah. Dipusing-pusingkan ke depan dan ke
belakang. Kemudian dihalakan pisau itu ke lehernya. Air matanya tidak berhenti
mengalir. Entah apa yang ada dalam benaknya di waktu itu. Pisau yang sudah
berada di leher cuba diseret dari kiri ke kanan. Namun cubaannya untuk membunuh
diri terhenti tatkala hujung mata pisau itu tertusuk sedikit ke lehernya. Biarpun
tusukannya sangat halus lagi nipis. Sudah cukup membuatkan kulit lehernya terasa
pedih kerana luka dek tusukan kecil itu. Rasa pedih itulah yang telah menyedarkan
dia.
ALLAHU AKHBAR! Ya Allahhh! Tolonglah aku Ya Allah, aku tak kuat Ya Allah.
Kenapa Kau pilih aku? Kenapa Kau pilih akuuu! Aku belum cukup kuat untuk
menempuh segala ujianMu ini Ya Allah! Tolonglah dengar aku di malam Ramadan
yang mulia ini. Aku tak kuat Ya Allahhh... Jantung aku Ya Rahman, Ya Rahim...
Jantung aku dah bengkak! Dah bengkak Ya Allah, apakah hikmah di sebalik ujian ini!
Apakah ujian yang bakal aku lalui selepas ini YA ALLAHHH!
Maka terjatuhlah pisau lipat itu dari pegangannya. Dicium sepuluh jemari tangan
kanan dan kiri. Bercucuran air mata membasahi pipi yang halus dan baju kurung yang
berada di pangkuannya. Sudah beberapa kali diseka air matanya. Namun tetap ia
mengalir tanpa henti. Remuk yang dirasakan dari siang tadi amat dahsyat. Tidak
terkata. Sepanjang malam dia menangis. Dia menangis semahu-mahunya. Kedua
belah matanya bengkak. Sesekali dada kirinya terasa sakit menyucuk. Semangatnya
untuk teruskan hidup kian pudar. Hampir setiap malam dia menangis. Hari raya?
Sudah tidak ada makna lagi baginya.
****************************************
“Kak Long, cuba kau tengok, baju ni lawa tak? Ada promosi ni,” Ujar ibunya. Sambil
menunjukkan beberapa helai baju kemeja dan t-shirt kepada Syafiqah.
“Nak beli baju ke? Tak naklah beli baju lagi. Pakai jelah apa yang ada kat rumah. Lagi
pun... yang ada kat rumah tu elok dan cantik lagi. Kak Long kan jarang pakai. Tak
payah belilah, ya.” Jawab Syafiqah. Bukan tidak cantik baju yang ditunjukkan oleh Pn.
Russila. Cuma keinginannya untuk menambah koleksi baju baru sudah tiada.
Pandangannya kosong ke arah baju itu. Bagi Syafiqah, untuk apa dibeli? Siapa yang
nak pakai baju itu selepas dia mati nanti?
“Tak nak? Okay kalau tak nak beli baju, jom Ibu bawa kau pergi cari tudung untuk
pakai satu hari raya nanti.”
“Tudung? Nak buat apa beli tudung? Tudungkan dah ada banyak kat rumah... tak
payah belilah, membazir je.”
“Eh, kenapa tak nak pula? Tudung Ibu dengan Adik dah beli... Kak Long punya je
belum beli lagi. Paling tak pun belilah sehelai dua. Ayah, Angah, Adik, Ibu nak pergi
bawa Kak Long cari tudung dia kejap. Ayah nanti kalau dah sudah call Ibu, ya.” Pn.
Russila berasa hairan dengan anak sulungnya. Semua tak mahu dibeli.
Sesungguhnya, ibu Syafiqah tidak menyedari bahawa anak sulungnya itu sedang
mengalami kejatuhan semangat yang amat ketara. Kerana sejak kecil lagi Syafiqah
lebih memilih untuk memendamkan segala rasa kesakitan dan juga kesedihan yang
dia alami. Dia sembunyikan semua yang berkait dengan ‘Duka’ dari keluarga dan
orang sekelilingnya. ‘Hidup Jangan Terlalu Menyusahkan’ itulah yang menjadi resam
hidupnya.
“Ibu, tak apalah. Kak Long nak tudung yang simple je. Tak nak yang batu-batu.” Dan,
sehelai selendang biru muda dan sehelai selendang bercorak hitam putih yang
menjadi pilihannya.
************************************
Menjelang dua hari sebelum tibanya 1 Syawal, semua ahli keluarganya sedang sibuk
mengemas rumah, membuat persiapan untuk pulang ke kampung. Namun, pagi itu
Syafiqah mula merasakan ada perubahan pada pernafasannya. Dadanya dirasakan
berat dan sakit sewaktu dia cuba mengangkat tangan. Dia berehat seketika dari
mengangkat tangan. Bernafas secara tenang. Pada Syafiqah, mungkin kerana dia
tersilap teknik menarik nafas sahaja. Mujurlah dia sempat menyiapkan sulaman
manik baju kurung untuk kesemua tempahan yang diterima pada tiga minggu lepas.
Beberapa minit kemudian, dia cuba sekali lagi menarik nafas dan mengangkat
tangan.
“Allahhh...” Tangan kanan diletakkan ke dada. Sakit. Sama seperti tadi. Malahan
sakit dada yang kali ini sedikit kuat dari yang tadi. Degupan jantungnya mulai
perlahan. Kedua belah tangannya pula terasa lenguh secara tiba-tiba. Dia cuba
melakukan senaman genggam dan buka jari berulang kali di kedua-dua tangannya.
Sesekali matanya melihat ke arah jam di dinding. Nafasnya juga mula
tersangkut-sangkut. Sesak. Itu yang dia rasakan. Ingin sahaja dia memberitahu ibu
dan ayahnya tentang sakit dada dan lenguh tangan yang sedang dia alami.
Sebaliknya, dia memilih untuk berdiam. Itulah Syafiqah. Selagi belum teruk, belum
sampai ke tahap kritikal, dia akan simpan dan cuba untuk bertahan sedaya yang
boleh.
“Kak Long, Kak Long... tengok ni Baby Crystal yang Adik buat hari tu. Dah keluar
anak. Adik buat 3 biji je. Hari ni dah ada 11 biji. Tapi sayang ada yang dah pecah. Dah
mati 2 biji. Haaa ni! Nasib baik mak dia tengah mengandung lagi. Kak Long nak
pegang? Tapi kena pegang lembut-lembut... kalau pecah nanti dia mati lagi.” Mimie.
Adik perempuan bongsunya yang baru berusia 7 tahun. Datang membawa Baby
Crystal iaitu permainan kanak-kanak sejenis bebola jeli yang boleh membesar dan
membiak jika direndam ke dalam air selama berhari-hari.
“Cantiknya! Tapi... tangan Kak Long tengah sakit ni. Nanti dah okay masa kat
kampung nanti kita main, ya.” Senyum dibalas Syafiqah. Sambil dia leka melakukan
senaman kecil pada tangannya.
Nafas ditarik dan dihembus sebanyak sepuluh kali. Sakit pada dadanya mula
berkurang. Sekali lagi Syafiqah cuba mengangkat tangan. Alangkah bersyukurnya dia
tatkala kedua-dua tangannya berjaya diangkat semula sehingga dapat mencapai
mulut, hidung, mata dan juga rambutnya. Dia tersenyum lega. Baru sebentar tadi dia
bagaikan hilang nikmat pada anggota yang paling berharga di dalam hidupnya.
Alhamdulillah. Syukur Ya Allah. Aku masih boleh angkat tangan. Tapi tadi kenapa
dada aku sakit? Kenapa dengan tangan aku? Ya Allah, adakah ini satu petanda yang
jantung dan saraf aku dah...
Selesai sudah mereka sekeluarga berbuka puasa dan solat berjemaah bersama di
rumah neneknya yang juga merupakan ibu kepada Pn. Russila di kampung Anak Air
Durian Daun Tebong, Tampin, Negeri Sembilan. Mimie mengajak kakaknya untuk
turut bersama menemani dia serta abangnya bermain bunga api dan mercun di luar
halaman rumah. Sudah menjadi kebiasaan setiap tahun hanya Syafiqah tiga beradik
sahajalah yang menyerikan suasana di rumah neneknya itu.
“Nah, ni bunga api besi Kak Long punya. Kak Long kan tak boleh kena asap
banyak... Kak Long nak bakar macam mana ni? Nak Adik bakarkan kat api pelita ke?”
Mimie. Mulutnya sama petah seperti kakaknya. Terlebih peramah pun sama juga. Dia
tahu kakaknya tidak boleh hidu asap tebal, dibelinya bunga api jenis besi yang kurang
keluar asapnya.
“Err... tak payah bakar kat pelitalah, karang susah nak kena ulang-alik. Karang Adik
tengan jalan, belum sampai kat Kak Long bunga api dah habis. Hahaha.”
“Hahaha. Iya juga kan... habis tu... macam mana Kak Long nak main bunga api ni?”
“Tak apa, tak apa. Adik pergi masuk dalam ambil lilin dengan tempat alas dia, lepas tu
letak atas bangku plastik ni. Nanti Kak Long bakar sendiri.” Mimie menuruti idea
bernas dari kakaknya.
Ya Allah... esok merupakan Ramadan terakhir bagi kami seluruh umat islam di dunia
ini. Adakah ini merupakan Ramadan yang terakhir untuk aku? Seandainya ini adalah
Ramadanku yang terakhir, ampunkanlah segala salah dan dosaku. Terimalah segala
amal ibadatku disepanjang aku hidup. Tetapi, seandainya ini bukan Ramadan yang
terakhir untukku, aku mohon Ya Allah... Kau bantulah aku agar terus kuat dalam
mengharungi segala dugaan dan ujianMu yang bakal datang selepas ini. Bisik
Syafiqah pada langit. Jiwanya sungguh tenang. Sama tenangnya dengan suasana
pada malam itu. Dia tersenyum. Baru malam itu dia merasakan tenang yang dicari
selama ini. Sesekali air matanya jatuh dengan sendiri. Dia sentiasa berharap agar
Allah pertemukannya dengan malam-malam Lailatul Qadar.
“KAK LONGGG!!! Bunga api tu dah jatuhhh! Ya Allah seluar Kak Long dah terbakar!”
Mimie memekik sekuatnya tatkala melihat bunga api besi kakaknya sedang giat
membakar seluar kakaknya.
“Eh! Eh! Ya Allah Kak Long tak perasan! Tolong lepuk-lepuk guna kain tebal tu cepattt!
Aduh... patutlah kaki rasa lain macam je.”
“Hish! Berangan apa entah Kak Long ni. Teringat pakwe lah tu! Eh, kenapa Kak Long
nangis? Sakit kena bunga api ke?” Dengan cahaya lampu tiang yang tidak berapa
terang, Mimie dapat perasan ada bekas air mata di pipi Syafiqah. Kelopak matanya
juga masih basah.
“Hmm budak kecik ni, cakap baik-baik sikit ya... Kak Long mana ada nangis. Tadi
asap bunga api tu masuk dalam mata Kak Long, pedih.” Syafiqah cuba mencari
helah.
“Asap? Bunga api besi ni mana ada asaplah...”
“Dah... dah... asap ke... api ke... jom kita sambung main bunga api! Kak Long baru
bakar 2 batang je.”
Adik... Angah... Kalau malam ni adalah malam Ramadan yang terakhir untuk Kak
Long, bererti kali ni jelah kita dapat main bunga api sama-sama. Mungkin lepas ni...
Adik akan main bunga api berdua dengan Angah je. Kak Long dah tak ada nanti
jangan sedih tau. Syafiqah memandang sepuas-puasnya wajah keriangan
adik-adiknya itu. Dia betul-betul ingin nikmati peluang kemanisan ini selagi hayat
masih ada. Entah selepas ini dapat bersama lagi atau sebaliknya. Mereka tiga
beradik duduk di luar halaman rumah sehingga jam tepat pukul 12:00 tengah malam.
Syafiqah. Seperti biasalah. Nakal dan peramahnya masih boleh tahan. Siapa sahaja
orang-orang kampung yang lalu, semua hendak ditegurnya. Mimie pula mengikut.
****************************************
“Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar. Laa....Illahaillallahu Wallahu, Akhbar.”
Kedengaran takbir raya sedang berkumandang melalui siaran tv di TV3. Pagi yang
sungguh hening. Ayah, adik lelaki serta neneknya masih belum pulang dari
menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid. Manakala ibunya pula sibuk di
dapur menyiapkan mee kari dan lontong buat juadah saudara-mara juga tetamu yang
bakal tiba sebentar sahaja lagi. Rendang hijau ayam kampung dan rendang daging
berempah pun sudah siap dipanaskannya. Mimie yang sedang leka menyusun biskut
ke dalam bekas kuih raya dipanggil oleh ibunya.
“Adik... Adik...” Panggil ibunya.
“Ya, Ibu. Adik tengah masuk kuih raya dalam bekas kuih raya. Kan tadi Ibu suruh,”
Mimie meninggalkan kerjanya sementara dan terus ke dapur.
“Ya, Ibu tahu. Ni Adik pergi tengok Kak Long dalam bilik tu. Dia dah siap pakai make
up ke belum? Lama betul pakai make up. Kalau dah siap tarik kerusi roda dia bawa
keluar bilik. Ibu nak pakaikan dia tudung. Kejap lagi orang ramai datang... tak sempat
nanti,”
“Kak Long, dah siap ke belll... Eh, kenapa tak siap lagi? Ibu dah marah tu.” Mimie
terkejut bercampur hairan. Melihat kakaknya yang lagi termenung di depan cermin
almari solek.
“Adik, panggil Ibu kejap. Cakap Kak Long panggil.” Balas Syafiqah. Serak tenggelam
suaranya. Matanya merah dan berair. Seakan menahan sebak. Dadanya berat.
Nafasnya mula terasa sesak. Makin dipaksa, makin sesak nafasnya.
”Kenapa, Kak Long? Laa... Illaa... haillallahhh... kenapa kau tak siap lagi ni!”
Mengucap panjang Pn. Russila tatkala melihat anak sulungnya. Setelah hampir 1 jam
Syafiqah duduk di dalam bilik, masih belum bersiap apa-apa.
“Ibu, tangan Kak Long...” Sayu dijawab Syafiqah.
“Kenapa dengan tangan tu? Ibu nak cepat pakaikan kau tudung ni... kejap lagi orang
masjid dah balik... tak sempat. Ayah cakap karang nak bawa kita pergi beraya kat
kampung Ayah pula...” Panjang ibunya berleter. Mungkin dalam fikirannya Syafiqah
pasti sedang bergurau. Itulah Syafiqah, suka menyakat. Bila dia serius pun orang
masih sangka dia bergurau.
“Ibu, tangan Kak Long... tangan Kak Long dah tak boleh nak angkat ni...” Ibunya
berubah raut wajah. Terkedu ibunya melihat keadaan anak sulungnya itu.
“Tak boleh nak angkat langsung ke? Cuba angkat perlahan-perlahan,” Pn. Russila
seolah-olah bagaikan sukar untuk percaya yang kemerosotan saraf Syafiqah berlaku
dengan secepat ini.
”Dah tak boleh... dari tadi Kak Long dah cuba nak angat tangan dua-dua ni... tetap
tak boleh juga. Bila Kak Long paksa lagi, tiba-tiba rasa sesak nafas, kepala rasa nak
pitam dan jantung jadi laju.” Bersungguh Syafiqah menerangkan apa yang sedang
dirinya alami pada saat ini.
Tanpa berlengah, Pn. Russila mencapai sikat lalu menyisir rambut Syafiqah yang
hitam ikal mayang. Panjang rambutnya melebihi paras dada. Diserikan wajahnya
dengan sapuan nipis krim pelindung sinar UV dan krim asas serta dicalitnya sedikit
pewarna bibir biar wajahnya yang kelihatan seperti hilang darah tampak berseri di
pagi hari raya itu. Kemudian dikenakan dengan selendang biru muda yang dibelinya
pada seminggu lalu. Memang permintaan Syafiqah ingin berhias secara
bersederhana sahaja di hari raya pertama.
“Tak apalah Kak Long, nak buat macam mana tangan Kak Long dah tak boleh nak
angkat lagi. Bersabarlah banyak-banyak. Selagi Ibu ada, Ibu lah yang akan suap Kak
Long makan lepas ni. Nanti Ibu cuba minta Ayah, Angah, Adik belajar sama-sama
bantu Kak Long...” Ucap Pn. Russila.
“Kak Long nak duduk mana? Nak ikut Ibu ke dapur atau nak duduk kat ruang tamu ni
tunggu dia orang balik?” Setelah selesai bersiap, kerusi roda yang dinaik Syafiqah
dibawa keluar dari bilik oleh ibunya.
“Kat ruang tamu je.” Sepatah dijawab Syafiqah. Luluh hati yang dirasa makin tidak
dapat dikawal. Namun dia seboleh-bolehnya tidak mahu menangis atau menitiskan
air mata di hadapan keluarganya. Bagi Syafiqah, cukup hanya Allah sahaja tahu apa
yang ada di dalam hati dan apa yang dia alami. Biar keluarganya nampak Syafiqah
adalah Syafiqah yang mereka kenal.
Ya Allah, ternyata... malam 2 hari lepas adalah malam yang terakhir kedua-dua
tangan ini dapat berkhidmat untuk aku. Hari ini tanganku betul-betul dah tiada upaya
untuk mengangkat. Bagaimana harus aku lalui hidup selepas ni Ya Allah?
Sesungguhnya aku tak kuat Ya Allah. Bantulah aku untuk redha dengan takdirMu ini.
Syafiqah... tolonglah kuat. Allah uji tanda Dia sayang. Dah. Biarlah orang nampak
kau kekal tersenyum. Orang tak perlu tahu tentang kesedihan kau, Syafiqah. Orang
tak perlu tahu. Wahai tanganku... selepas ni aku dah tak dapat lakukan apa-apa saja
yang dapat aku lakukan sebelum ni. Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah, selama 16
tahun Engkau pinjamkan aku sedikit keupayaan pada tanganku ini yang telah banyak
mengajar aku mengenal erti dan menghargai nikmatMu. Redup pandangannya ke
luar. Sambil disentuh kesemua jari-jemarinya.
*********************************************
“Kak Long... angkat tangan ni! Jangan malas! Opah nak salam kau...” Opah. Atau
lebih dikenali sebagai Mak Long Dara. Mak cik saudara kepada ayah Syafiqah.
Sudah malam raya keempat mereka sekeluarga baru ada kesempatan untuk datang
beraya ke rumahnya di Kampung Kuala Ina, Alor Gajah, Melaka.
“Mak Longgg! Tangan Kak Long ni tak dapat nak angkat sendiri lagi dah... dah lemah!”
En. Yahya meninggikan sedikit nada suaranya. Takut-takut mak cik saudaranya
kurang dengar.
“Apaaa! Halimah! Halimah yang mana? Halimah ada ramai...” Aduhai Mak Long Dara.
Kalau bercakap dengan dia memang jenuhlah nak kena tinggikan suara. Maklumlah,
usianya sudah mencecah 80 lebih. Pendengarannya pula semakin berkurang.
Kadang apa yang orang sebut, tidak sama dengan apa yang dia dengar.
“Bukan Limah, Mak Long! Tangan Kak Long ni yang dah lemah! Dah tak kuat nak
angkat lagi dah!” Jenuh ayah Syafiqah menjelaskan kepada Mak Long Dara. Bagai
hendak terkeluar anak tekak ayahnya apabila perlu bercakap kuat-kuat dengan nenek
saudaranya itu. Mujurlah ayahnya merupakan seorang anggota tentera. Tiada
masalah baginya untuk bercakap dengan nada suara yang tinggi.
“Pakya, nak pinjam Kak Long kejap boleh? Afiq nak bawa Kak Long lepak kat
beranda luar kejap. Lagi pun kita orang dah lama tak lepak sama-sama,” Afiq
mencelah dari arah belakang. Dia merupakan cucu kepada Mak Long Dara.
“Eh, ada Afiq. Pakya ingatkan tak ada tadi,” ‘Pakya’ itulah gelaran yang biasa
digelarkan oleh keluarga En. Yahya ke atas dirinya. Afiq lalu menolak kerusi roda
Syafiqah dan dibawa ke beranda.
“Kak Long... selamat hari raya, maaf zahir dan bantin, ya Long.” Ucap Afiq kepada
Syafiqah.
“Ya, selamat hari raya, maaf zahir dan batin juga, Afiq.” Syafiqah membalas dan
disusuli dengan senyumnya.
“Long, aku tahu kau tak okay.” Afiq cuba membuka ruang perbualan dengan satu ayat
yang menyentak jiwa Syafiqah.
“Tak okay? Tak okay macam mana maksud kau? Aku macam ni jelah. Okay je. Eh!
Ameera mana? Aku rindu... lama dah tak jumpa dia. Kau pun aku rindu!” Syafiqah
tercengang. Dia cuba mengalihkan perhatian Afiq.
“Long... pandang mata aku please. Jawablah aku tanya. Jangan tukar topik. Kau tak
okay, kan?” Syafiqah memandang mata Afiq. Dalam direnung oleh Afiq.
“Tak tak ada lah. Aku... mana ada,”
“Long, mulut dan senyum kau boleh bohong aku. Tapi... mata kau tak boleh bohong
aku. Ini bukan kau, Long. Aku kenal dan aku tahu kau macam mana Long,” Semakin
dalam pandangannya ke dalam mata Syafiqah. Tak bergerak anak matanya.
“Tadi aku tengok kau makan pun tak banyak. Aku nampak kau lebih banyak diam dari
bercakap banyak. Kau dah tak seceria yang dulu. Kau bukan Syafiqah yang aku
kenal, yang penuh dengan kata-kata jenakanya. Tangan kau kenapa Long?”
“Afiq... hidup aku mungkin dah tak lama. Doktor pakar cakap aku dah tak banyak
masa lagi. Sebab...” Syafiqah tak mampu menghabiskan ayatnya. Tidak dapat dia
menahan hibanya. Menitis air mata pertama di depan sepupunya itu.
“Air mata kau berharga, Long. Janganlah menangis.” Afiq menadah titisan air mata
Syafiqah ke atas tangannya. Namun, dia juga turut menangis bersama.
“Kenapa Long... kau sakit apa?” Tambah Afiq lagi. Tenggelam timbul suaranya dalam
esakan.
“Doktor ada buat ujian Echo Scan pada jantung aku masa ramadan ketiga hari tu.
Doktor beritahu, jantung aku dah bengkak sebelah kiri. Dan... sebarang kemungkinan
boleh berlaku pada bila-bila masa je kat aku sekarang ni. Kau nak tahu Fiq? Salah
satunya yang dah berlaku. Tangan aku yang dah tak ada kudrat ni. Setakat ni jari aku
ni jelah yang masih boleh bergerak sikit-sikit. Aggressive betul penyakit saraf aku ni,
kan?”
“Ya Allah, Longgg...!” Afiq meraung pilu.
“Hey... jangan nangis kuat-kuat! Nanti dia orang dengarlah,” Bisik Syafiqah kepada
Afiq yang sudah tersedu-sedan menangis.
“Ya, Fiq. Aku dah tak banyak masa lagi. Lepas ni kita dah tak dapat lepak
santai-santai sambil berpantun lagi dah kan...” Ketawa Syafiqah disulami dengan air
matanya.
“Kak Longgg... janganlah cakap macam tu! Aku benci kau! Aku nak kau kuat! Kau
mesti boleh sihat suatu hari nanti. Trust me!”
“Aku dah nak arwah tak lama lagi lah. Apa kau ni!” Itulah Syafiqah. Memang terkenal
dengan sifat nakalnya yang suka menyakat.
“Alaaaa Kak Longgg! Bencilah!” Afiq mencebik. Syafiqah tersenyum. Suka dia
mengusik Afiq sampai merajuk. Bagi Syafiqah, dengan telatah Afiq yang begitu,
sudah cukup mencuit hatinya. Dapatlah terubat sedikit kesedihan yang masih
melanda.
Afiq. Walaupun dia merupakan seorang anak lelaki tunggal yang menjadi harapan
pada ibu dan ayahnya, namun nalurinya lebih kepada kewanitaan. Halus bak salju.
Dia sangat rapat dengan Syafiqah. Pendek kata, suka dan duka mereka pernah
berkongsi bersama. Sungguh pun naluri Afiq yang lemah lembut begitu, sado
kejantanannya masih tetap ada.
Waktu berganti Hari. Hari bertukar minggu. Minggu bersilih ganti. Syafiqah cekal
menjalani hidupnya dengan keadaan yang amat sukar. Jika dahulu, semasa
kedua-dua tangannya masih boleh digerakkan. Dapat dia penuhi jadual hidupnya
dengan mengambil upah menyulam manik di baju kurung, melukis, kupas bawang
dan lain-lain. Kini, sudah tiada kudrat pada tangannya untuk mengusahakan semua
itu lagi. Yang lebih menyukarkan hidupnya kini apabila dia tidak berdaya menyuapkan
makanan ke mulut sendiri. Apa sahaja makanan yang dia teringin, terpaksa ditahan
tekaknya. Diikat seleranya dari mengidam apa-apa makanan. Bukan tak ada ahli
keluarga yang boleh bantu menyuapkan, cuma mereka juga ada urusan mereka
sendiri. Manakala Mimie pula masih kecil. Masih belum berani menyuap kakaknya
makan. Salah satu sejarah yang tidak akan dilupakan Syafiqah sewaktu ketiadaan ibu
dan ayah serta adik lelakinya di rumah, akibat perutnya terlalu lapar, pernah dia
meminta Mimie mengisar mee kari di dapur sehingga lumat. Sesudah dikisar mee kari
itu hingga lumat, dimasukkan ke dalam cawan yang diletakkan sebatang straw.
Sememangnya rasa pelik. Langsung tak sedap. Pada Syafiqah, rasa itu tidak penting.
Yang penting baginya bagaimana hendak memastikan mee kari itu dapat dimasukkan
ke dalam mulutnya tanpa tangannya.
**********************************************
“Piqah! Piqah! PIQAAAH!”
“Eh! Kak Az, bila sampai?”
“Bila sampai? Nak sampai ke mana? Kita dah nak balik dah ni. Aduh. Pening ke? Kan
kita konvoi tadi,” Jeritan Azlina dari arah belakang menyedarkan Syafiqah dari
lamunan.
“Err... hehehe.” Syafiqah tersengeh bagai kupang busuk.
“Piqah kenapa? Terharu sangat dapat jumpa Abang Eddy sampai mengelamun jauh
nampak...” Usik Azlina.
“Ish! Mana ada. Ke situ pula Kak Az ni. Err... Kak Az, minta tolong keluar balik boleh?
Kejap je.”
“Eh, eh dah dapat berborak dengan Abang Eddy, kita dia boleh tak pandang,” Rajuk
Azlina. Sengaja dia mengusik Syafiqah. Eloklah. Dua-dua suka sakat-menyakat.
“Allah. Kak Az... bagilah chance kejap saya nak berbual berdua dengan Abang Eddy
sebelum kita balik.”
“Iqa, kenapa masa Iqa cerita tentang sejarah hidup Iqa tadi... Iqa termenung?” Soal
Eddy. Yang sedang terbaring di atas katilnya. Eddy merupakan seorang OKU fizikal
selepas dia terlibat dalam sebuah tragedi kemalangan semasa dia pulang dari kerja
dahulu. Kini dia terlantar akibat penyakit Spinal Cord Injury yang dia hidapi.
“Tak ada apa-apa. Bila saya tengok keadaan Abang Eddy ni, saya jadi teringat saat
saya down dulu. Perit yang saya lalui. Dulu jiwa saya pernah mati. Saya hidup, jasad
saya ada, tapi tak rasa apa. Sebab itulah sekarang, saya nak Abang Eddy pun ada
satu semangat yang luar biasa!”
“Insya’Allah terima kasih Iqa dan Azlina. Abang sedih dengar cerita Iqa tadi. Baru
umur 16 tahun, Iqa diuji dengan hebat. Kalau abang duduk tempat Iqa, Abang tikam
je perut ni sebelum jadi apa-apa.”
”Abang Eddy, kalau dulu mungkin iya. Saya rasa pada waktu itu... ujian sayalah yang
paling dahsyat. Sampai satu tahap, saya terlalu focus dengan kematian. Sampai
terbawa-bawa ke dalam mimpi yang saya dimasukan ke liang lahad, kemudian
dikebumikan.”
“Tapi lepas saya tengok ada lagi OKU yang diuji lebih hebat dari saya,
lama-kelamaan saya mula muhasabah diri dan terima takdir hidup ini. Eh, lama dah ni.
Ibu Ayah saya pun dah tunggu tu.”
“Piqah, jom kita selfie sikit dengan Abang Eddy sebelum kita balik,” Ujar Azlina.
“Nah Eddy, ni hadiah dari Syafiqah.” Pn. Russila menyerahkan bag hadiah pemberian
dari Syafiqah kepada Eddy. Di dalamnya ada sepucuk surat, seutas tasbih dan
sebuah buku motivasi dari Dato' Ustaz Mohammad Kazim Elias yang berjudul Tuhan
Sedang Menguji Kita.
“Ingat ya, Abang Eddy. Jangan mati sebelum mati.” Kata Azlina.
“Terima kasih, Iqa dan Az. Sudi datang ziarah saya kat sini.” Sayu wajah Eddy
melambai.
Sesudah mereka keluar dari rumah Eddy di Bukit Belachan, Ampang, Kuala Lumpur,
Azlina terus memberi signal lampu kereta meminta ayah Syafiqah berhentikan kereta
di tepi jalan. Turun Azlina dari keretanya dan terus mendapatkan kereta En. Yahya
lalu dipeluk cium Syafiqah sekuat hati.
“Piqah, akak tahu Piqah dah penat,”
“No...! Akak... confirm saya kena sambung siri ke-2 cerpen Bangkit Dari Mati ni.
Kalau akak serius nak sambung, sila maklum”
Comments