top of page

Bintang SMA Fighters Menyinar Di Arena Boccia

Alhamdulillah tahniah diucapkan kepada tiga orang SMA Fighters iaitu Saudari Noor Raihanah Azemi, Saudari Nadiah Rahaman dan Muhammad Syafiq Naim yang beraksi cemerlang di Kejohanan Sirkit 1 Kebangsaan Sukan Boccia 2022 pada 25-29 Jun yang lalu. Kejohanan ini merupakan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), berlangsung dengan jayanya di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan, Kuala Lumpur.


Kejohanan ini telah menyaksikan SMA Fighter Noor Raihanah Azemi yang mewakili Pasukan Negeri Sembilan telah merangkul pingat Perak untuk Kategori B4 Wanita dan diikuti oleh SMA Fighter Nadiah Rahaman yang mewakili Pasukan Kelantan telah memenangi pingat Gangsa dalam kategori yang sama. Manakala SMA Fighter Muhammad Syafiq Naim yang mewakili Pasukan Selangor tetap memberikan saingan hebat dalam Kategori B4 Lelaki walaupun mengalami sedikit kecederaan pada tangannya. Semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh ketiga-tiga SMA Fighter ini amatlah membanggakan, membuktikan bahawa mereka tidak membiarkan penyakit SMA menghalang mereka mengejar impian mereka dalam sukan. Turut hadir memberikan sokongan adalah Puan Shakira Jamil Fisal selaku Presiden SMA Malaysia semasa hari kejohanan.


Kejohanan ini adalah sebahagian daripada program persediaan atlet-atlet Paralimpik Boccia untuk memberi persembahan yang terbaik pada Sukan Para SUKMA Kuala Lumpur 2022 yang bakal berlangsung pada November 2022 nanti. Semoga mereka terus bersemangat, mengekalkan momentum dan meningkatkan prestasi balingan masing-masing. Syabas dan selamat maju jaya buat semua SMA Fighters. Kalian luar biasa!!! 🎉











95 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page