top of page

Kehidupan Sebagai Seorang Penjaga SMA: Tangisan Tiada




Pemenang Tempat Kedua Pertandingan Menulis Cerpen Kategori B (SMA Heroes) bersempena Sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa 2024.

Hasil nurkilan Nurulhidayatul Fathi Mohd Fadzil, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150 yang ditaja oleh pihak Synapse Sdn. Bhd.


=============================================================


Beg galas hitam, bakul susu dan makanan aku ambil dari sofa merah, lalu aku

jinjingkan ke kereta. Susun barang-barang itu dalam perut keretaku seperti biasa setiap kali

perlu ke mana-mana. Anak ku masih lagi leka menonton rancangan televisyen

kegemarannya. Diusia sebegitu muda, mana mungkin faham akan segala tindak tanduk

ibunya, yang hanya dia faham, mahu susu, mahu makan dan mahu lena diulit mimpi.

“Mama, mana mama?”, teriak anakku berulangkali. Satu perkara lagi yang dia tahu.

Tahu akan kehilangan ibunya. Pantang lepa hilang dari pandangan mata, pasti gelisah,

merengek, merintih sehingga menitis air mata kerana tiada kelibat ibunya. Pada awalnya, aku

tidak faham mengapa ada satu manusia kecil yang sangat perlu adanya aku? Mengapa aku

tidak boleh jauh berenggang darinya? Mengapa Tuhan hadirkan manusia kecil ini untukku?

Mengapa itu? Mengapa ini? Segalanya mengapa?


“Dah siap ke semua barang? Jangan ada yang tertinggal, nanti payah jauh perjalanan

nak ke sana”, ujar ibuku yang memecah keheningan pada pagi itu. Ibuku juga sedang bersiap-siap mahu ke sekolah, tempatnya bekerja mencurah bakti demi anak bangsa. “Dah siap semua, tak bawa banyak, sebab petang nanti kami balik sini lagi” balasku. “Betul ni tak nak Mama dengan Yaye teman kaklong dan Rania?” tanya ibuku sekali lagi. Soalan yang sama ditanyakan kepadaku malam tadi. “Along okey sahaja, dah bersedia apa jua kemungkinan” balasku dengan penuh kesungguhan.


Selepas bersalaman, pelukan erat mesra, kereta yang ku pandu meluncur laju keluar

dari rumah menuju ke jalan besar seterusnya meyusur masuk ke lebuhraya menghala ke utara tanah air. Masih utuh dalam ingatan betapa lama perjalanan pada hari itu. Pemanduan yang ku rasakan amat panjang waktunya dan seperti jauh destinasinya. Walhal, sebelum ini aku sudah biasa memandu menuju tempat yang sama. Hari itu begitu lain suasananya, jumlah kenderaan juga tidak banyak, jauh sekali sesak. Cuaca nan mendung, semendung hatiku. Terasa hibanya jiwa, bersedia menerima apa jua berita.


Perjalanan yang tanpa henti, kupandu keretaku terus menuju ke Klinik Pakar Genetik

bahagian utara tanah air. Temujanji yang diawalkan dari tarikh yang sepatutnya dijadualkan

ini, membuatku resah sekali. Aku mendapat panggilan dari pihak klinik sewaktu Hari Raya

Korban, bukanlah satu berita yang menggembirakan, namun mendebarkan. Panggilan yang

dimana menuntut aku untuk hadir ke klinik pada tarikh yang lebih awal, membuatkanku terfikir pelbagai kebarangkalian yang baik mahupun yang buruk.


Setelah memarkir kereta behampiran klinik, aku terus menghidangkan makanan

tengah hari untukku dan anakku. Dua beranak ini sememangnya selesa menikmati juadah di

dalam kereta sahaja. Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan masih berkuat kuasa, tidak

dapat banyak boleh kami lakukan apabila dapat merentas negeri ini. Sungguh berselera

anakku menjamah walaupun dia mengambil masa untuk mengunyah dan menelan. Aku tetap sabar menunggu sehingga habis seleranya.


Tatapan dan perhatianku teralih dek kerana mengenang satu ketika anakku terpaksa

makan menggunakan picagari kerana dia belum tumbuh gigi serta lambat dan sukar

mengunyah. Pelbagai kata cacian dan herdikan aku terima sayup-sayup ditelingaku. Aku

teruskan sehingga satu ketika dia mula tumbuh gigi walaupun usianya sudah pun menjangkau satu tahun. Itu belum lagi melibatkan pemilihan makanan yang menuduh aku menjadi punca anak sebegini rupa. Aku diamkan sahaja. Tidak mengiakan, tidak juga menidakkan. Kini, anakku boleh makan sendiri dengan kuantiti dan potongan yang sangat kecil. Walaupun mengambil masa yang panjang, aku puas. Segala usaha dayaku berhasil.


Sudah tibanya masa, aku keluarkan kereta sorong anakku yang menjadi pembantu peribadi terulung dalam setiap pergerakannya. Anakku semakin berselera, semakin bertubuh.

Tidak berdaya aku memikulnya sepanjang masa. Beg hitamnya aku galas dibelakang badan.

Aku angkat dan letakkan anakku diatas pembantu peribadinya. Aku pakaikannya tali pinggang keledar dan terus menolak kereta sorong itu masuk ke dalam klinik. Di kaunter, aku serahkan kad temujanji dan buku laporan kesihatan. Tidak lama kemudian nama dipanggil untuk mengambil berat badan dan tinggi anakku.


Kami tunggu diruangan menunggu sekali lagi sehingga nama dipanggil untuk

berjumpa dengan doktor. Temujanji kali ini tidak ramai hanya beberapa pesakit yang

menunggu giliran. “Siti Nurkhadijah”, nama anakku dipanggil. Kami segera masuk ke dalam

bilik konsultansi untuk bertemu dengan doktor.


“Apa khabar Mama dan Rania? Maaf kami terpaksa awalkan temujanji. Keputusan

ujian genetik Mama dan Rania sudah keluar. Awal sedikit dari yang kami jangkakan. Sebelum

itu, Mama seorang sahaja hari ini ke? Tiada sesiapa yang teman Mama?”, tanya doktor itu

kepadaku. “Oh tidak, saya seorang sahaja hari ini”, balasku. “Okey Mama, saya akan jelaskan keputusan ujian genetik itu ya”, ujar doktor itu. Aku hanya mengangguk akur. “Berdasarkan keputusan genetik yang dilakukan keatas Rania dan Mama, Rania diagnosis dengan Spinal Muscular Atrophy, satu penyakit genetik yang akan melemahkan otot-otot Rania”.


Aku hilang pandangan.

Padam.

Keliru.

Tiada Kata.


Mana mungkin semudah dan secepat itu hendak aku menerima berita yang sangat

asing bagiku. Penyakit genetik? Otot lemah? Spinal? ‘Apa benda ni?’, monolog aku sendirian.Terasa sakitnya kepalaku menusuk terus ke hatiku. Tanpa sedar, mataku berkaca tidak berderai. Nafasku menjadi sempit, tanganku menyejuk, keringatku mengalir deras. Aku tutup rapat mataku. Doktor memberhentikan penerangannya. “Mama jelas ke apa yang saya

sampaikan tadi?” tanya doktor itu. “Apa yang saya faham, anak saya ada satu penyakit

genetik yang buat otot dia lemah, sebab itu ke anak saya tak boleh jalan doktor?” tanyaku

bersungguh.


“Penyakit genetik ini bukan sahaja melemahkan otot kaki, namun keseluruhan tubuh

badannya. Paling kritikal apabila otot yang melemah melibatkan otot pernafasan iaitu paru-

paru dan juga fungsi otot jantung untuk mengepam darah untuk kegunaan keseluruhan

badan. Penyakit ini juga progresif ataupun boleh merosot melalui masa. Untuk Mama faham

maksud saya adalah, kalau Rania sekarang boleh duduk, satu masa nanti, dia dah tak boleh

duduk. Kalau sekarang dia boleh mengunyah, satu masa nanti dia perlukan alat bantuan untukmakan. Inilah apa yang saya maksudkan dengan merosot. Juga Mama, penyakit ni tiada jaminan untuk sembuh”, jelas doktor kepadaku.


Aku pejam mata, urut lembut wajahku. Tidak dapatku bayangkan bagaimana diriku

mahu membesarkan Rania seorang diri. Diriku yang tiada pekerjaan dan pendapatan, tiada

simpanan, tiada tempat bergantung harap, tiada bahu untuk disandar, apakah aku mampu?

Apakah aku mampu pikul semua tanggungan ini? Aku sedar keadaanku sekarang ini bagai

sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah ditalakkan, baru sahaja berakhirnya iddah, anak pula

menderita sakit pada pangkal yang tiada hujungnya. Adakah aku mampu ya Tuhan? Adakah

aku kuat? Kenapa aku? Kenapa anak aku? Apa yang kau rancangkan untukku ya Tuhan?


“Mama, saya nak tanya, walaupun penyakit ini akan merosotkan kesihatan Rania,

tetapi sekarang ini terdapat ubat yang akan melambatkan kemerosotannya. Saya ingin

ingatkan Mama siap-siap yang ubat ini bukan penyembuh, tetapi ianya hanya boleh

melambatkan proses kemerosotan Rania. Jika Mama setuju untuk ambil ubat ini, Mama dan

Rania perlu mematuhi semua temujanji penilaian yang akan dijadualkan”, jelas doktor itu. “Ya saya setuju, saya mahu yang terbaik untuk Rania walau apa jua sekalipun”. Sememangnya aku tidak adapun fikir mahupun untuk kali kedua, yang jelas adanya ubat itu, adanya sinar dari lubang yang kecil dalam hidup kami.


Setelah selesai berurusan di klinik, kami terus pulang ke rumah ibuku. Aku

memberhentikan keretaku disatu tempat yang tidak asing bagiku malah sering aku kunjung

satu ketika dahulu. Ku tatap wajah kecil anakku. Aku meraung dalam diam. Ternyata, tangisan tiada nada itu lebih memeritkan jiwa. Luka parah nan lara. Aku memohon maaf pada anakku, berulang kali. Malah sehingga kini. Wajah sayu anakku itu, menambahkan lagi senduku.


“Untuk Mama pula, dalam laporan genetik, Mama adalah pembawa kepada penyakit

genetik ini. Saya sarankan untuk bapanya juga buat ujian. Namun penyakit genetik ini tidak

akan terjadi sekiranya seorang sahaja yang pembawa, ia perlu kedua-dua ibu dan bapa

adalah pembawa. Jika bapanya ingin melakukan ujian genetik, bapanya boleh terus buat

temujanji untuk berikan sampel darah di klinik”. Kata-kata itu jelas kufaham dan mengerti

bahawa, keadaan anakku ini adalah menurun dari kedua ibu dan bapanya. Bukan dari aku

seorang yang sebelum ini segala pertuduhan dilempar terus terhadapku, dimana akulah

punca anak jadi sebegini. Aku tidak tahu mahu menangis atau apa. Perasaanku ketika ini

digumpal dan dihenyak di dalam masa yang sama.


Aku sudahpun memaklumkan kepada bapanya mengenai perihal Rania, dan

menyarankan agar dia menjalankan ujian genetik itu, oleh kerana dia sudah mempunyai

pasangan yang baru, supaya dia boleh merancang sebaiknya keluarga barunya itu. Tugas

dan amanahku sudah selesai, tiada tanggungan apa pun aku kepadanya.

Pada dan ketika dan saat ini, aku dan Rania berulang alik dengan jayanya ke beberapa

klinik pakar yang banyak membantu meningkatkan kualiti hidupnya. Namakan sahaja klinik

pakar bahagian mana yang tidak pernah Rania mendapatkan khidmat dan bantuan. Tanpa

bantuan daripada sosok tubuh seorang imam di dalam keluarga kecil kami, akulah ibu, akulah bapa. Bukan kerana aku kuat, tetapi anakku, Rania yang kuat. Kuatnya dia tak terjangkau akal. Mana mungkin aku melemah, meratap nasib diri, sedangkan anak kecil ini bangun teguh seiring dengan takdirnya sendiri. Benar, anak ini tidak perlukan kita, tetapi kita yang perlukan anak ini.


Setiap kali ditanya perihal jodoh, aku pancungkan dengan ‘Jika bapanya sendiri tidak

boleh menerima keadaan anaknya, mana mungkin bapa baru’. Ah, halus tajam sekali. Ya,

memang, kita manusia sememangnya mahukan yang manis sahaja, pahitnya dibuang jauh.

Biarlah aku telan pahit ini seorang, kerana aku mahu manisnya Disana kelak. Cukup benar

bahagia kami berdua, usah disentuh hasil buah yang tidak pernah kau baja.

Kepada anakku, Khadijah Rania, nama yang indah secantik pekertimu. Suatu hari

nanti Rania akan tersenyum tenang dengan apa yang telahpun Mama usaha dan juangkan.

Ingatlah siapa yang pernah ada dengan kita bila kita berada di paling bawah dahulu. Jangan

pernah nafikan itu. Doa Mama tidak pernah putus untukmu, sayangku. Perjalanan kita masih

jauh, SMA Fighter Never Give Up!


44 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page