top of page

Pengalaman Manis SMA Fighters di JAKIM

Alhamdulillah 25 April 2022 yang lalu telah berlangsung dengan jayanya sesi rakaman program bual bicara kolaborasi antara SMA Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memfokuskan tentang Penyakit dan Pesakit Spinal Muscular Atrophy. Rakaman dijalankan di Studio Jakim, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kompleks Islam, Putrajaya. Program ini terbahagi kepada dua sesi iaitu rakaman rancangan Kalam Sihat di mana panelnya adalah Prof Dr Zabidi Hussin, Pro Naib Canselor dan Pakar Pediatrik (Neurologi), International Medical University yang juga merupakan Ketua Penasihat Perubatan SMA Malaysia. Manakala sesi berikutnya adalah rakaman slot Pesanan Khidmat Masyarakat yang menampilkan 3 panel iaitu SMA Fighter Cik Noor Raihanah Azemi (SMA Type 3), SMA Fighter En Amirul Iman Amiruddin (SMA Type 2) dan ibu kepada SMA Fighter Adra Sofea (SMA Type 1) iaitu Pn Juwairiyah Rejab. Program ini adalah inisiatif Dr Hazlin Kadir @Shahar, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM dan En. Mohd Abrar Mohd Sanusi, Penerbit Radio Salam.FM yang telah menjalankan sesi rakaman dengan jayanya. Manakala Cik Siti Safura Jaapar (SMA Fighter Type 2), Exco Perubatan dan Penyelidikan SMA Malaysia telah bertindak sebagai koordinator (mentor) dan liason daripada pihak SMA Malaysia. Rakaman ini dijangkakan akan diterbitkan dan disiarkan di saluran radio Salam.FM pada Jun 2022 kelak selama 15 episod. Kesemua ahli panel yang terlibat, terutama semua SMA Fighters sangat teruja dan gembira berpeluang merasai sendiri pengalaman baru ketika di konti studio dan ianya adalah pengalaman manis buat mereka. Adalah menjadi aspirasi SMA Malaysia menggalakkan SMA Fighters dan keluarga untuk memperkasakan diri dengan menambah sebanyak mungkin pengalaman baru dan mengatasi halangan minda, walaupun menghadapi halangan fizikal akibat SMA kerana makna kehidupan itu lebih besar dari penyakit SMA. Diharapkan siaran rakaman ini nanti akan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Penyakit SMA dan bagaimana untuk sama-sama membantu komuniti SMA di Malaysia untuk menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Nantikan siarannya di Salam.FM Frekuensi 91.1 Mhz. Saksikan video sekitar sesi rakaman dijalankan.









109 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page