top of page

Usahasama SMA Malaysia - Mukmin Pro App Memberi Harapan Baharu untuk SMA Fighters

Alhamdulillah satu kerjasama baharu sudah terbentuk dan sedang dijalankan di antara SMA Malaysia dan pihak Mukmin Pro App dalam meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap anak-anak SMA Fighters yang sedang bertarung nyawa dan terus bertahan dalam menghadapi ujian kesihatan akibat penyakit Spinal Muscular Atrophy ini.


Usahasama SMAM - Mukmin Pro App merupakan satu program pengumpulan dana sumbangan untuk pesakit-pesakit SMA (SMA Fighters) yang amat memerlukan bantuan kewangan dan sokongan moral dengan lebih sistematik melalui satu aplikasi Mukmin Pro App yang boleh dimuat turun oleh semua lapisan masyarakat. Mukmin Pro App merupakan aplikasi berkonsepkan gaya hidup Muslim kontemporari dan komprehensif yang merupakan projek di bawah kelolaan pelakon, selebriti dan usahawan terkenal, Fattah Amin dan Nur Fazura. Aplikasi ini juga membolehkan masyarakat menghulurkan bantuan dengan membuat sumbangan dana kepada mereka yang memerlukan secara langsung, lebih mudah dan cepat. Muat turun Mukmin Pro App melalui pautan berikut:


Link untuk download Mukmin Pro App:


Umum telah maklum bahawa kesihatan SMA Fighters agak rentan dan mudah terjejas, terutama sekali jangkitan pada paru-paru akibat faktor cuaca dan sebarang jangkitan bawaan kuman. Sudah menjadi rutin group WhatsApp SMAM menjadi medan perkongsian pengalaman dan perkembangan terbaru SMA Fighters di kalangan keluarga besar SMA Malaysia. Hingga di saat ini, masih terdapat anak-anak SMA Fighters yang sedang dirawat di hospital dan PICU akibat pelbagai simptom gangguan kesihatan. Mereka amat memerlukan pelbagai jenis alatan bantuan perubatan dan ada di antara mereka terpaksa menyewa mesin-mesin bantuan seperti Bipap, Cough Assist, dan lain-lain. Malah bahan-bahan nutrisi khusus seperti susu formula khas, carborie; ubat - ubatan sokongan seperti antibiotik, sabutamol, nebuliser saline; bahagian-bahagian peralatan seperti suction cartherer, topeng bipap, feeding tube, syringe dan pelbagai lagi turut menelan kos yang tinggi.


Terapi-terapi khusus yang telah dihasilkan oleh saintis-saintis memberi sinar baharu kepada komuniti SMA di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Kini tiga jenis terapi telah sampai ke Malaysia. Terapi khusus itu adalah:

  1. Ridisplam (Kos : 1botol = RM 40K untuk anggaran penggunaan 1 bulan). Ubat ini perlu dimakan setiap hari sepanjang hayat.

  2. Spinraza (Kos: Anggaran ratusan ribu ringgit untuk 6 dos bagi tahun pertama dan diikuti 3 dos setahun bagi tahun berikutnya). Ubat ini diberikan kepada pesakit dalam bentuk suntikan pada saraf tunjang dan perlu mengambilnya sepanjang hayat.

  3. Zolgensma (Kos: Anggaran USD2.1 juta atau RM8.9 juta untuk satu dos suntikan pada saraf tunjang). Terapi ini diberikan sekali seumur hidup.


Cabaran pembiayaan kos yang tinggi terapi - terapi ini tidak mampu untuk ditampung oleh mana-mana keluarga pesakit SMA. Masih belum ada lagi bantuan pembiayaan kos terapi-terapi ini daripada pihak kerajaan walaupun bajet telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen serta mula disalurkan dalam kelompok rawatan Penyakit Jarang Jumpa yang mana SMA adalah sebahagian daripada penyakit jarang jumpa.


Maka, program kutipan dana sumbangan masyarakat ini amatlah diperlukan dan menerusi aplikasi yang dibangunkan oleh Pasukan Mukmin Pro App yang mesra pengguna ini diharapkan dapat menyebarluaskan maklumat kepada seluruh masyarakat supaya lebih cakna dan mempercepatkan pengumpulan dana untuk dimanfaatkan oleh pesakit-pesakit SMA. Untuk sesi pertama program, enam orang pesakit SMA telah dipilih seperti berikut :


Link bantuan pesakit-pesakit SMA:

1) Adik Wan Muhammad Naail

2) Adik Muhammad Syafi Rizqi

3) Adik Muhammad Athif Fahri

4) Adik Nur Aileen Alfanisa

5) Adik Muhammad Harraz Waiz

6) Adik Siti Nurkhadijah Rania


Semoga dengan sumbangan yang disalurkan oleh masyarakat Malaysia dengan penuh keprihatinan dan kasih sayang ini dapat membantu meringankan keperitan hidup anak-anak SMA yang sedang dirawat dan keluarga mereka , memberi harapan baharu serta dapat memperbaiki tahap kesihatan anak-anak SMA dengan lebih baik. Semoga Allah dikurniakan keberkatan kepada para dermawan dan semoga Allah kurniakan kesembuhan buat anak-anak SMA seluruhnya. InshaAllah Aamiin.



197 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page