top of page

DIARI KERUSI KERAMAT




Pemenang Tempat Pertama Pertandingan Menulis Cerpen Kategori A (SMA Fighter) bersempena Sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa 2024.

Hasil nurkilan Anis Adilah Amlaki, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150 yang ditaja oleh pihak Synapse Sdn. Bhd, dan juga menerima hadiah misteri yang ditaja oleh Yayasan Luth.


=============================================================


"Ehh, tu kerusi apa tu. Nak naik, akak turun kejap, bagi saya cuba pula", luah Atirah yang berusia 5 tahun itu.

Kedengaran suara Atirah memecah suasana di masjid itu membuatkan aku tersenyum mengatur kata-kata.

''Ni kerusi roda, akak tak boleh turun dik sebab kaki akak sakit", ujarku sambil tersenyum. Atirah menyambung lagi "akak boleh bawa saya jalan-jalan tak, macam seronok je", katanya sambil memerhatikan tombol kerusi roda elektrik di tanganku.

Lalu, bermulalah kisah dongengku yang datangnya bercampur dari cerita upin-ipin, bercampur dengan dongeng pada zaman dahulu. Kemudian datanglah adik dan abangnya berserta kawannya lagi dua orang yang kira-kira berumurnya dalam lingkungan 7 tahun. Dengan bersungguhnya aku bercerita, akhirnya dapat pancing kepercayaan budak-budak yang datang menegur.

''Nasib otak kreatif bab mereka cerita, fuhh!'', bisikku sambil ketawa kecil.

Tak lama dari tu, ibu mereka memanggil untuk masuk ke ruang solat. Satu kelegaan besar apabila mendengar ibu mereka panggil, nanti tak pasal-pasal aku kena buli dengan budak-budak ni nanti. Hehehe...

*******

Suasana masjid kembali tenang, semua sedang solat. Maka, aku juga pergi ke tempat yang biasa aku solat, iaitu di luar tempat solat di sebelah pintu kaca masjid. Itulah tempat yang aku rasa paling sesuai untuk solat bagi diri ini yang berkerusi roda kerana ia mengingatkan aku pada satu peristiwa di masjid kolej matrikulasi. Seorang ustaz yang sangat tegas, berkopiah putih, dan berkaca mata, yang tiba-tiba datang menyergah aku dari belakang.

"Kamu datang ke masjid ni, tayar kamu tu bersih ke? Kan terpijak tahi anjing ke tahi kucing, pastu bawa masuk masjid", kata ustaz tersebut bernada sindiran.

Aku dan kawan-kawan tersentak. Hati menahan sebak mendengarkan kata-kata ustaz pada ketika itu. Aku hanya mampu membalas;

"Baik, ustaz", kataku sambil menahan sebak di dada.

Lalu, kawan-kawan membantu dan mengangkat aku untuk solat bersama-sama di dalam masjid. Di waktu sujud, segala rasa sakit, sedih dan kecewaku diluahkan atas tikar sejadah dek kerana kata-kata ustaz itu tadi. Tangisanku berpanjangan sehingga selesai solat dan didengari rakan-rakan disebelahku.

"Anis?", mereka menyapaku dari belakang.

Lalu, tubuhku mereka peluk setelah melihat mataku berkaca. Mereka menenangkanku pada saat itu.

Di saat menanti kesedihan itu berlalu, aku teringat akan kisah Nabi Ayub a.s dari Tafsir Kitab al-Kurtubi yang ditafsirkan oleh Ustaz Syarhan Syafie, pendakwah bebas di Youtube. Pada dahulunya Nabi Ayub ditimpa penyakit kulit diusir oleh penduduk kampung. Tabahnya Nabi Ayub sehinggakan baginda tidak sampai hati untuk meminta kesembuhan dari Allah kerana baginya, terlalu banyak nikmat yang Allah bagi nak dibandingkan dengan penyakit yang ditimpanya itu.

Suatu hari, sedang malaikat menunggu nabi ayub solat, kelihatan beberapa ekor ulat sedang menggerogoti kepala nabi ayub pada ketika itu. Namun,selepas solat ulat-ulat itu jatuh di atas sejadah baginda. Perkara pertama yang dibuat baginda bukanlah berzikir tetapi mengutip ulat-ulat tersebut dan dimasukkan semula pada kepalanya. Malaikat marah dan bertanya kepada baginda sebab tindakannya itu, lalu baginda menjawab;

"Makhluk ni habitatnya dalam kepala ku, kalau binatang ini kekeringan dan kelaparan, aku tidak mahu nantu di akhirat kelak aku didakwa hanya sebab seekor ulat, aku tidak dapat masuk syurga Allah", kata Nabi Ayub.

Ketabahan nabi Ayub sangat dipuji Allah dan penduduk langit yang membuatkan hatiku tiba-tiba menjadi kuat semula untuk meneruskan perjalanan sebagai seorang khalifah Allah di muka bumi ini.

Sekilas kisah Nabi Ayub, diri ini mula bermuhasabah. Sedangkan Nabi Ayub pun penyakitnya jarang dijumpai, baginda boleh bersabar. Bahkan penyakitnya itu jelas-jelas orang boleh lihat kewujudan ulat-ulat itu, nak dibandingkan dengan penyakitku ini, yang kelihatan secara fisiknya adalah seperti orang yang tidak sakit. Tidak patut untuk aku menghukum diri sendiri, dek kerana ada penyakit, kemudian ingin menganggap semua anggota juga sakit?

Tidaklah adil bagi diri ini untuk hidup dalam sebuah penjara yang diwujudkan oleh diri sendiri, yang kurang hanyalah pada bahagiannya sahaja. Diri ini masih mempunyai lidah untuk berbicara yang dikira pada satu kata tetapi boleh mengubah dunia. Masih mempunyai tangan untuk memegang pena, yang mana tintanya boleh menularkan ilmu ke seluruh dunia. Masih mempunyai akal untuk berfikir membantu negara malah seangkatan dengannya. Mengapa perlu menghukum?

***

Bip..bip..

Kedengaran penggera telefon yang berbunyi mengejutkanku dari tidur. "Anis, anis", panggil rakan sebilikku sambil menyentuh kakiku. Kebiasaan rutin harian, rakanku akan membantu untuk mengangkatku ke atas kerusi roda, kemudian aku ke bilik air untuk membersihkan diri, lalu bersiap-siap untuk ke kelas. Setelah siap memakai tudung dan sebagainya, aku pecut ke kelas pada jam 7 pagi. Pada waktu inilah sangat sesuai untuk aku ke kelas supaya tidak bertembung dengan bas yang mengambil rakan-rakan kolej yang lain untuk ke fakulti. Sampai sahaja di jalan besar, di sana terdapat roundabout yang pada kebiasaannya agak sibuk. Di sana jugalah aku gunakan kelajuan maksimum untuk keselamatan. Sesekali ada juga berjumpa dengan pensyarah yang lalu-lalang sehaluan untuk ke fakulti juga. Suatu hari, sedang aku berjalan menuju ke fakulti, kedengaran bunyian hon sebuah kereta, sambil menurunkan cermin keretanya.

“Anis, hati-hati ya. Lampu mana lampu, tidak ada tu?”, kata pensyarah subjek Psikologi Persekitaranku itu.

Beliau sangat menitikberatkan keselamatan, dan selalu mengingatkan rakan-rakan yang lain supaya tengok-tengokkan aku lagi-lagi kalau berada di atas jalan. ‘Bertuah sungguh kau ye, Anis’ bisik hatiku. Selalu juga terjumpa beliau pada malam hari untuk ke masjid, oleh sebab itulah beliau asyik bertanya lampu sahaja. Aku sering juga bertemu dengan bas dalam perjalanan ke kelas, tetapi pemandu bas selalu sahaja berhati-hati, kadang-kala ada pemandu bas yang sempat memberi nasihat ikut tingkap, dan agak menggelikan hati juga ya kalau diimbas kembali sambil tersenyum mengingatnya. Walau bagaimanapun, inilah yang dikatakan pengalaman. Terlalu banyak pengalaman yang dilalui walaupun perjalanan ke kelas hanya mengambil masa 10 minit sahaja.

Setiap kali aku 'memandu' kerusi roda elektrik, aku merasa sangat gembira seolah-olah aku tidak pernah merasa ada kekurangan. Anugerah kerusi keramat ini membolehkanku untuk menjadi insan yang berkaki walau ada sesetengah tempat sahaja yang membataskan pergerakkanku. Pihak universiti pernah menawarkan khidmat untuk menghantarkanku ke kelas, walhal aku menolaknya. Diri ini menginginkan kebebasan dan merasai perasaan pelajar-pelajar yang berjalan kaki untuk ke kuliah. Ada masanya juga aku terlewat untuk ke kelas, jadi menurutku, aku tidak akan susahkan sesiapa untuk menungguku sekiranya hari-hari lewat itu terjadi. Apabila sampai ke fakulti, akan berjumpa dengan rakan-rakan dan pensyarah, saling tegur-menegur, dan ada pensyarah yang suka mengusik. Sekiranya beliau yang tidak mengusik, aku lah dulu yang mengusiknya. Tanpa adanya mereka, maka tiadalah anis yang seceria ini sekarang, cewah! Alang-alang mengangkat, apa salahnya angkat bakul sendiri, bukan? Aduhai, kalau ada cikgu Bahasa Melayu ni sudah pasti dibaling pemadam papan hitam ni. Eh! Boleh pula teringat akan guru Bahasa Melayu ya.

Namun, segala yang terjadi dalam hidup ini amatlah diri ini syukuri, Allah memberiku banyak nikmat, berjumpa dengan orang yang baik-baik, itu adalah suatu rezeki yang tak disangka-sangka. Tetapi, ada juga terjumpa bermacam-macam ragam manusia. Namun, bagiku itu semua adalah resepi kehidupan manusia, lebih-lebih lagi sesuai dengan personaliti diri ini, yang agak suka bergaul dengan orang ramai.

***

Dalam perjalanan pulang ke kolej, dengan perasaan yang gembira 'memandu' kerusi roda, terjumpa rakan sebilik, Fatini. Sedang kami asyik berbual, tiba-tiba terasa ada sesuatu yang mengikuti di belakang kami. Sekali pandang belakang, alangkah terkejutnya kami, ada seekor anjing putih yang lidahnya terjelir keluar mengikuti kami secara senyap. Oleh kerana Fatini fobia terhadap anjing, tetiba Fatini hilang dari pandanganku.

"Alamak, Fatini. Kenapa kau menghilang pulak! Adoi, macam mana ni", sambil membebel pada Fatini.

Darah gemuruh naik. Tangan menggeletar. Bukan sahaja tangan, alat kawalan tu pun turut sama menggeletar. Terus butang kelajuan yang maksimum pada alat kawalan ditekan pada kerusi roda tersebut. Ianya agak laju, tetapi anjing putih itu lagi laju mengejarnya, siap pakej menyalak lagi! Nasib tidak bangun pikul kerusi roda macam usop wilcha dalam movie kak limah balik rumah je, haha! Nak dijadikan cerita, aku teringat sewaktu aku jumpa pak guard di fakulti, aku bertanya cara untuk berhadapan dengan anjing. Panjang betul masa aku ya, siap boleh berangan lagi. Okay, sambung balik cerita. Pak guard tu kata;

"Alaa, adik guna payung je, buat seolah-olah nak pukul dia, dia lari la. Anjing kat sini tak bahaya pun. Tak pernah gigit orang", katanya.

Namun, pada waktu dikejar anjing, tiada sesuatu pun di tanganku. Payung pun tidak ada, hanyalah ‘sekeping hati dibawa berlari’. Lalu, aku mengambil keputusan untuk berhenti dan menjerkah anjing tu;

"herghhhhhhh", jerkahku tanpa sedar.

Tanpa disangka-sangka, anjing itu menunduk dan berlalu pergi. Terus mulut ni melatah dan membebel;

"Haa anjing, sekarang baru kau tau aku lebih anjing daripada kau, eh!", kataku bernada geram.

Perasaan gembira pada waktu itu tak terkata apabila dapat melawan anjing. Kalau masuk berita ni, hangat ni topik dia, "OKU lawan anjing, siapa menang?", viral ni haha!

Haa terlupa dah, di manakah Fatini agaknya ya. Selepas anjing itu berlalu pergi, tetiba je Fatini muncul.

“Fatini, kau ke mana je, cepat betul hilang pakai ilmu apa, ha?” tanyaku kehairanan sambil gelak-gelak. “Aku ada je, perhatikan kau dari jauh, saja je nak tengok, ‘anis selamat ke tak tu’, haa”, kata Fatini sambil gelak. “Ciss betul la kau ni, kau duduk mana tadi, kau bagitahu aku cepat?”, balasku. “Tu, belakang motor tu je. Aku nak gelak weh, macam mana kau buat kat anjing tadi tu, cuba kau buat lagi skali, hahaha”, sambil meniru gaya aku buat pada anjing tu.

***

Pada keheningan pagi yang agak kesibukan, waktu yang ditunggu-tunggu oleh rakan-rakan sekelas, iaitu waktu kerja lapangan subjek Psikologi Forensik. Kami dikehendaki untuk membuat kerja lapangan di Taman Sri Putri iaitu di Batu Gajah, Perak. Pagi-pagi lagi kami bertolak dari kolej untuk ke sana. Aku agak teruja, kerana sebelum ini belum pernah aku keluar untuk kerja-kerja lapangan di luar universiti. Pada kebiasaannya, aku diminta untuk membuat tugasan yang lainnya, yang tidak melibatkan kerja luar. Apabila mendengarkan keputusan yang seperti itu dari pensyarah, terasa jiwa agak memberontak, sakit dan sedih. Jiwaku seperti pelajar-pelajar yang lainnya. Namun, aku harus redha. Aku harus memujuk diri ini agar tidak mengeluh dengan ujian. Aku memujuk agar hati aku kuat. Jadi untuk apa-apa kerja lapangan, aku tidak berharap pada mana-mana pensyarah untuk membenarkanku dalam melibatkan diri untuk mengikuti lawatan kerana pengharapan itu sakit. Aku tidak menyangka, Allah mempertemukanku dengan seorang pensyarah yang sangat baik hati dan sentiasa mengambil berat terhadap pelajarnya. Rupa-rupanya, beliau sangat memahami dan memberi peluang untuk aku melibatkan diri dalam kerja lapangan tersebut. Tiba-tiba teringat kata beliau,

“Saya ingin pelajar-pelajar saya, kenal dan praktikkan apa yang dipelajari. Suatu hari nanti, awak akan tahu apa yang saya buat ni, akan bermakna pada awak bila awak keluar universiti nanti. Apa yang penting pengalaman itu yang mahal”, kata beliau.

Pada pagi itu, beliaulah orang yang paling sibuk, menguruskan anak dan juga pelajarnya sekali. Belum pernah aku berjumpa pensyarah sebaik beliau. Sesampainya kami di Sekolah Taman Sri Putri, kami diberi taklimat oleh kaunselor mereka mengenai pantang larang di tempat itu, tersangatlah wajar, kerana pusat tersebut merupakan salah satu pusat pemulihan akhlak bagi remaja-remaja perempuan. Di sana saya lihat ada yang mengandung, ada yang dikhabarkan bahawa mereka mangsa rogol tetapi tidak mengandung, dan ada yang mempunyai isu lain juga. Aktiviti demi aktiviti kami jalankan. Walaupun kerja aku masa tu, cuma tahu merayau je kerjanya, ke sana ke sini lagaknya seperti menteri yang kesibukan, haha! Yelah, aktiviti aku ialah bahagian main game je, tu yang main-main hehe. Takde lah! Itu je yang memang aku boleh buat sebenarnya hehe. Aku teruja dan terasa agak aktif walaupun gerak-gerak bersama kerusi keramatku itu. Nak buat aerobik pun tangan boleh angkat sikit je, di samping terasa malu sikit. Hehe. Setibanya pada waktu ingin pulang, ada seorang remaja perempuan yang memanggilku;

“Kak Anis, saya suka tengok akak. Saya rasa semangat tengok akak.” Katanya sambil melemparkan senyuman padaku.

Tetiba rasa, ‘eh siapa yang psiko siapa ni, haha!’, bisik hati kecilku. Namun, jiwa ini terharu dan bersyukur. ‘Ya Allah, seandainya diri ini tidak mampu untuk berbuat perkara yang selebihnya, izinkan aku menjadi sang pencetus semangat kepada mereka yang semangatnya luntur, yang kemudiannya akan mekar kembali. Sesungguhnya, diriku ini hanya untuk ummah. Hidupku dan matiku hanya untukmu, Ya Ilahi’, bisik hatiku.

******

Suasana pagi yang indah diiringi dengan kicauan burung yang mendamaikan, mengubati jiwa yang kadang kalanya sedih, hiba dan berbagai rasa. Namun ada kalanya gembira. Eh, macam perencah adabi la pula, hehe. Ya, itulah perencah kehidupan. Ianya menjadi sebuah kepastian bagi setiap insan. Saat perasaan itu datang, terasa diri ini sangat beruntung, dapat merasai semuanya. Sesekali aku teringat akan kata cerdik pandai yang mengingatkanku akan erti kesyukuran dan ia berbunyi kalau kita berkasut maka pandanglah mereka yang berselipar, kalau kia berselipar maka pandanglah mereka yang berkaki ayam dan aku terfikir lantas aku menyambungnya.

“Kalau kita berkaki ayam, maka pandanglah mereka yang tidak berkaki”, sambungku.

Aku termenung sambil memerhatikan kakiku,

" Wahai kaki, walau kau tak dapat berjalan sekali pun di atas dunia ni, kau sangat membantuku untuk aku berbuat hal yang lainnya. Ada lagi yang lebih susah dariku. Bagaimanalah nasib mereka yang tidak berkaki sedangkan aku mempunyai kaki. Terima kasih kerana setia bersamaku sehingga kini, terima kasih ya Allah atas kurniaan ini", bisikku tunduk bersyukur.

Walaupun sesekali ada yang membantuku kadangkala merungut ‘berat la kau ni, gemuklah kau ni, kau tak diet ke’, aku tetap bersyukur kerana masih ada mereka yang ingin membantu. Meskipun hati ini kadangkalanya agak mudah tersentuh, itu semua adalah proses kehidupan, yang pastinya aku redha dengan ujianNya. Aku lihat lagi kerusi keramatku, aku katakan padanya;

"Wahai kerusi keramatku, terima kasih menjadi sahabat setiaku, terima kasih kerana selama ini kau menjadi kakiku, kau menjadi saksi sedih dan tawaku, semoga kau dapat menjadi saksiku di akhirat nanti, katakan pada Allah apa yang telah kau saksikan,ya!", bisikku sambil mengusap kerusi keramatku itu.

Bagi aku, walau pada penglihatan orang ia hanyalah sebuah kerusi roda, namun ianya sang besi yang sangat tabah. Ianya juga makhluk Allah, yang datangnya gembira aku hargai, yang perginya aku tangisi. Itulah kerusi keramatku.

-TAMAT-


2 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page